KEHILANGAN suami secara tragis dan tiba-tiba bukan sahaja memberi tamparan hebat, tetapi membuat Isteri kepada imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, yang ditembak mati awal pagi semalam trauma sehingga terpaksa mengambil ubat untuk menenangkannya dan membolehkannya berehat.
Menurut rakan wanita terbabit yang juga komuniti wanita Palestin, isteri mangsa yang dikenali sebagai Enas, 30 tahun kelihatan tidak dapat menerima hakikat suaminya telah tiada sehingga kerap menyuruh rakannya mengatakan bahawa semua yang berlaku hanya mimpi dan suaminya akan pulang.
Keadaan wanita itu dimaklumkan kepada Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Fauziah Mohd Hasan seperti yang dilaporkan dalam berita harian.
Menurut rakan wanita itu yang berada di kediamannya, keadaan Enas yang tidak stabil menyebabkan ketiga-tiga anaknya yang berusia enam bulan hingga empat tahun dijaga jirannya kerana tidak mahu mereka juga terkesan dengan keadaan ibunya yang tidak stabil.
Menurut laporan Harian Metro, wanita itu baru sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjana dalam bidang Pengajian Islam dan sedang dalam proses menyambung pengajian peringkat Ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti sama dalam bidang yang sama.
Terdahulu, seorang pensyarah sebuah universiti swasta di ibu negara ditemui mati ditembak dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam ketika berjalan ke surau yang terletak di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.
Dalam pada itu, Humanitarian Care Malaysia ( MyCARE) akan menubuhkan satu tabung khas untuk membuat kutipan dana bagi membantu keluarga Allahyarham Fadi yang berada di Malaysia.
Dalam satu sidang media yang diadakan di MyCare Seri Kembangan, Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Fauziah Mohd Hassan dilaporkan berkata, "Saya berharap mendapat kerjasama masyarakat sebaik sahaja tabung berkenaan ditubuhkan untuk membantu mereka".
Tambahnya lagi, jika ada keputusan untuk menghantar jenazah Fadi ke Gaza, pertubuhan itu bersedia menanggung kos pengebumian dan penghantaran jenazah Fadi ke Gaza.
Beliau berharap dengan adanya sumbangan dari tabung ini, akan dapat meringankan beban keluarga mangsa disamping memudahkan urusan pengkebumian sama ada jika jenazah di kebumikan di sini mahupun di Gaza.
Fauziah juga menyatakan harapannya agar ahli keluarga Allahyarham Fadi terutama isteri dan anak-anaknya tabah menghadapi dugaan ini.— EdisiRakyat.com, 23 April 2018
Post a Comment