SATU berita yang pasti menggembirakan dunia artis dan peminat Dato' Seri Siti Nurhaliza apabila artis kesayangan mereka selamat melahirkan anak perempuan seberat 3.55 kilogram di sebuah hospital di ibu kota secara pembedahan.
Melalui laman Instagram, pengurus Dato' Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak yang merupakan kakak ipar Siti mengumumkan berita gembira itu.
Siti dan anaknya berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat.
Menurut Rozi, Siti memilih tarikh 1 Rejab untuk melahirkan bayinya disamping ingin menyamai hari yang sama kelahiran Nabi Muhammad S.A.W iaitu hari Isnin.
Menurutnya lagi, Siti Nurhaliza dan suami menyampaikan ucapan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.
"Suami beliau, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat. Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat.
Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu.
Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya,"tambahnya lagi dipetik dari laman Instagram beliau.
Melalui laman Instagram @rozisangdewi, kelihatan rata-rata ramai peminat yang teruja mengucapkan tahniah dan memanjatkan kesyukuran dengan kelahiran bayi itu.
Dato' Seri Siti Nurhaliza sebelum ini mengeluarkan single khas untuk bayi perempuannya yang berjudul 'Comel Pipi Merah'. Pasti peminat tidak sabar ingin melihat wajah bayi comel tersebut. Sama-sama kita nantikan.— EdisiRakyat.com, 19 Mac 2018
Post a Comment