Semakan semula hukuman Datin 'kejam' di Mahkamah esok

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan Rabu ini untuk mendengar permohonan untuk mengkaji semula hukuman terhadap Datin Rozita Mohamad Ali, 44, yang terlepas dari hukuman penjara setelah mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya yang merupakan warga Indonesia.


Ketua pendakwa raya Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad mengesahkan perkara ini selepas dihubungi semalam.


Beliau berkata pihak pendakwaan telah memfailkan notis perakuan segera di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dan akan didengarkan di hadapan Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah pada pukul 9 pagi esok.


Terdahulu, pada 15 Mac, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar melepaskan Rozita dengan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan 20,000 walaupun pendakwaan telah menuntut hukuman penjara dikenakan memandangkan jenayah yang dilakukan agak berat.


datin rozita

Rozita membuat pengakuan bersalah mencederakan Suyanti Sutrinso yang berusia 19 tahun pada tahun 2016 dengan menggunakan pisau dapur, mop besi, penyangkut baju dan payung yang mana kesalahan itu dilakukan antara jam 7 pagi dan 12 malam pada 21 Dis 2016 di sebuah rumah di Mutiara Damansara.


Suyanti mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tangan, kaki dan organ dalaman.


Rozita sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.


Walau bagaimanapun, pertuduhan itu kemudian dipinda kepada kesalahan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya dan didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Oleh kerana pertuduhan ditukar kepada akta yang melibatkan hukuman yang lebih rendah, Datin Rozita menukar pengakuannya kepada bersalah sebelum Mohammed Mokhzani menjatuhkan hukuman tersebut.


Keputusan Mahkamah Sesyen kemudian mencetuskan kemarahan di seluruh negara, bukan sahaja dari kalangan orang awam, malah termasuk juga penggubal undang-undang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyeru hukuman ke atas wanita itu dikaji semula.


Lebih 40,000 orang juga telah menandatangani petisyen yang menuntut keadilan sama rata tidak kira pada orang kaya mahupun miskin berikutan keputusan Mahkamah Sesyen itu yang seolah-olah melindungi orang kaya.


Petisyen yang dimulakan oleh individu yang tidak bernama menggunakan slogan "Keadilan Bersama untuk Rakyat Malaysia" pada hari Sabtu di laman web change.com telah memperoleh 41,337 tandatangan sehingga tengah hari semalam.


Petisyen itu menuntut 50,000 tandatangan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk diambil tindakan.


Petisyen tersebut mendesak hukuman lebih tegas ke atas Datin Rozita dan bukan hanya memberi dia hukuman ringan seperti bon berkelakuan baik kerana kesalahan yang dilakukan sangat berat.


Petisyen itu juga ingin mengenengahkan bahawa menjadi kaya dan membawa gelaran "Datin" tidak seharusnya memberi hak kepadanya untuk memperlakukan orang lain dengan sewenang-wenangnya tanpa sifat kemanusiaan.—EdisiRakyat.com, 20 Mac 2018

1 Comments

  1. Datin boleh pilih. Sama ada hukum qisas, iaitu mangsa boleh belasah dia serupa mana dia kena belasah ATAU penjara, minimum 1 tahun dan bayar ganti rugi

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post