Pagpag: Sampah jadi makanan orang miskin Filipina

Pernahkah anda membeli makanan terlalu banyak ketika lapar, tetapi kesudahannya hanya mampu makan sedikit dan merasa kenyang?


Akhirnya lebihan makanan itu terpaksa dibuang begitu sahaja. Ia merugikan anda dan merupakan satu bentuk pembaziran yang sangat tidak sepatutnya berlaku.


Sejak kecil, pasti ada antara kita yang seringkali dimomokkan dengan "nasi menangis" jika tidak dihabiskan oleh ibu bapa atau nenek supaya kita menghabiskan makanan dan tidak membuangnya.


Tidak semua orang bernasib baik untuk merasa kemewahan hidup dan membeli makanan sesuka hati. Kerana kesempitan hidup, ada yang terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali sehari dan ada juga yang hanya makan nasi berlaukkan garam.


pagpag

Seperti di Manila, Filipina rakyat miskin di sana mengolah makanan dari tempat pembuangan sampah untuk dijadikan makanan yang dinamakan pagpag. Buat pengetahuan anda, ayam dan daging juga adalah makanan ruji warga Filipina.


Pagpag berupa lebihan daging dan ia akan dibersihkan dan dimasak untuk dijadikan hidangan yang murah selepas dikutip dan dikumpulkan.


Seawal jam 4 pagi, para pengutip bahan buangan akan mencari 'bahan makanan' di tempat pembuangan sampah. Biasanya pada jam sebegini, makanan sisa dari restoran fast food juga baru sampai ke tempat pembuangan sampah.


Para pencari barang terpakai di tempat pembuangan sampah yang dahulunya hanya mendapat pendapatan daripada menjual barangan yang boleh dikitar semula, kini berjaya memperolehi pendapatan yang lumayan hasil menjual daging yang dikutip dari tempat pembuangan sampah yang mana terdapat pemilik restoran kecil yang membelinya dengan harga murah sebelum dijadikan pelbagai hidangan.


Dahulu, logam dan plastik sahaja yang berjaya menarik perhatian para pencari barang terpakai tetapi kini mereka perlu bersaing untuk mencari lebihan makanan dan makanan yang tamat tempoh yang dibuang daripada restoran makanan segera ataupun pasa raya.


Makanan itu kemudian dibungkus dalam beg plastik sebelum dijual dengan harga murah. Satu bungkusan pagpag biasanya dijual pada harga 20 peso (RM1.50) manakala daging dari sisa kedai makanan segera dijual pada harga 7 peso (RM0.50) sebungkus.


Ada juga para pencari bahan makanan yang diupah sebesar 300 peso (RM23) selama seminggu setelah bahan pagpagnya laku terjual.


Bekalan yang diperolehi mencukupi untuk restoran kecil di kawasan setinggan memasak pelbagai hidangan murah yang dijual pada harga 10 peso (RM0.75).


Ada sesetengah kedai yang membuka kedai menjual pagpag seawal 9 pagi dan menjual semangkuk pagpag dengan harga 2.5 peso (RM0.20).


Sebelum ia dimasak, daging itu dibersihkan daripada kotoran seperti tanah dan tulang dikeluarkan. Jika sisa makanan itu berbau kurang enak, ia akan dibasuh 2 hingga 3 kali.


Pelanggan yang kelihatan kerap mengunjungi restoran yang menghidangkan pagpag adalah warga miskin yang sehari-harinya bekerja sebagai penghantar barang dan juga peniaga. Beberapa restoran lebih menjadi pilihan jika menghasilkan pagpag yang lebih 'bersih'.


Walaupun mereka sedar pengambilan makanan ini mendedahkan mereka kepada risiko penyakit dan kekurangan nutrisi, ini merupakan usaha mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Kata seorang penduduk yang dilaporkan dalam Harian Metro, "Dengan kehidupan seperti ini, ia sangat membantu. Apabila anda membeli satu bungkusan pagpag dengan harga yang murah ia mampu memberi makan kepada satu keluarga."


Pagpag sebelum ini hanya usaha terakhir penduduk sekiranya tiada apa untuk dimakan tetapi dengan harga makanan yang semakin mahal, daging itu kini menjadi makanan harian kebanyakan keluarga.


Pakar pembangunan sosial, Melissa Alipalo dalam laporan berita yang sama mengatakan, "Ini sangat memalukan apabila orang miskin memakan makanan lebihan yang dibuang oleh orang kaya.


Namun, ini satu bentuk ikhtiar hidup untuk mereka yang sangat miskin."


Semoga kita akan lebih menghargai makanan dan sentiasa bersyukur masih mampu makan makanan yang baik dan berkhasiat berbanding mereka yang kurang bernasib baik disamping mengurangkan pembaziran.— EdisiRakyat.com,11 Mac 2018

Post a Comment

أحدث أقدم