'Klinik gigi' haram diserbu, doktor palsu larikan diri

PIHAK Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyerbu sebuah rumah tumpangan yang dijadikan markas seorang doktor gigi palsu yang menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi haram di Kampung Losong, Kuala Terengganu hari ini.


Serbuan pada jam 3.30 petang itu membawa kepada penahanan dua orang wanita berusia 21 yang disyaki pembantu 'klinik haram' tersebut  manakala seorang wanita, 20-an, dipercayai dalang utama berjaya melarikan diri.


Menurut yang dipetik dalam laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar menyatakan bahawa terdapat 16 orang pelanggan sedang menunggu giliran memasang pendakap gigi, manakala seorang pelanggan lagi sedang menjalani prosedur pemasangan ketika serbuan dilakukan.


Menurutnya lagi, pihak mereka sudah menjalankan intipan perkhidmatan haram itu sejak Januari lalu, dan mendapati mereka sentiasa menukar lokasi bagi mengelak kegiatan dikesan.


Kumpulan terbabit dikesan menjalankan kegiatan haram itu secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan mempromosikan perkhidmatan dan barangan secara atas talian (online) menerusi laman sosial facebook sejak awal tahun ini.


"Harga yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding klinik berdaftar. Pelanggan hanya perlu membuat pembayaran secara dalam talian sebelum rawatan diberikan," katanya ketika ditemubual sumber Harian Metro selepas serbuan itu.


Terdahulu, kumpulan itu berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan di sebuah lokasi di Kemaman.


Doktor Palsu

Menurutnya, hasil maklumat orang ramai, kali ini kumpulan terbabit yang pada mulanya merancang untuk menjalankan kegiatan itu di sebuah rumah tumpangan di Batu Burok berjaya di berkas oleh seramai tujuh pegawai penguat kuasa dan disertai tiga anggota polis.


Hasil siasatan awal daripada ahli kumpulan yang berjaya ditahan mendapati kumpulan terbabit gagal mengemukakan sijil amalan tahunan pergigian yang sah dan akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta 586 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,00 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.


Mereka juga disyaki menyediakan perkhidmatan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586)," tambahnya lagi.


"Salah seorang individu antara yang ditahan berusia 21 tahun mengakui tidak mempunyai kelayakan dalam pemasangan alat pendakap gigi malah mengaku hanya belajar memasang alat itu melalui kawan.


"Individu itu juga mengaku ia adalah satu kesalahan dan ketika ditanya mengapa melakukan juga kegiatan haram itu, dia tidak dapat menjawab," kata Mohamad.


Pengarah Jabatan Kesihatan tersebut berpendapat, antara faktor perkhidmatan haram itu mendapat sambutan ramai kerana harganya lebih murah.


"Seorang pelanggan yang sempat saya tanya tadi kata kepada saya, harga ditawarkan murah dan dia hanya perlu bayar RM100 bagi mendapatkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi yang dipakainya", katanya


Menurut hasil temubual seorang pelanggan remaja dikenali sebagai Rabiatul, 16, seperti yang dilaporkan dalam sinar harian, dia dipetik sebagai mengatakan bahawa hanya mengetahui perkhidmatan ditawarkan sejak dua bulan lalu menerusi rakannya.


"Saya lihat kawan memuat naik status dia memakai pendakap gigi pada tahun lalu, lalu bertanya di mana di mana mendapatkan perkhidmatan berkenaan, lalu  diperkenalkan dengan individu yang mesra dipanggil Kak Ain.


"Kami berhubung dan berbincang tentang rawatan  melalui Whatsapp dan pernah menjalani rawatan sekali dengan bayaran RM250," katanya.


Dia yakin dan percaya dengan tawaran perkhidmatan itu kerana kumpulan terbabit mendakwa mempunyai surat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.


Sehubungan itu, pihak Jabatan Kesihatan menyeru orang awam supaya tidak tertarik dengan tawaran sebegitu daripada individu yang tidak memiliki kelayakan dan mempunyai sijil yang sah dan sedar bahawa prosuder tersebut sangat berisiko kerana dijalankan oleh mereka yang tidak bertauliah.


Kata Mohamad lagi, "Jika berlaku kesilapan, pelanggan terpaksa menanggung pelbagai kesan buruk antaranya kesakitan, jangkitan kuman, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi luar biasa, kehilangan gigi dan gusi bengkak serta bernanah".— EdisiRakyat.com, 21 Febuari 2018

Post a Comment

أحدث أقدم