Naib Presiden Warisan Peter Anthony direman 3 hari

NAIB Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony ditahan reman selama 3 hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan pembelian tanah kelapa sawit bernilai RM155 juta di Sabah.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peter, 46 ditahan pada jam 1 tengah hari semalam selepas memberikan kenyataan kepada SPRM. Pegawai suruhanjaya itu juga dilaporkan telah pergi ke rumahnya untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.

Peguamnya, Martin Tommy berkata anak guamnya patut dibebaskan hari ini dan sudah menyediakan dokumen-dokumen yang perlu untuk dihantar ke pejabat SPRM.

"Namun pagi ini saya telah dihubungi oleh SPRM, yang menyatakan mereka akan memohon perintah reman dari mahkamah," katanya.

Peter bersama kitab Bible di tangannya, kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke mahkamah sekitar jam 11 pagi.

peter anthony

Pegawai kanan SPRM bahagian penguatkuasaan, Khairudin Kilau dilapor bertindak sebagai pendakwaraya mewakili Suruhanjaya itu.

Ahli Politik itu ditahan reman di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 atas dakwaan rasuah.

Peter pernah ditahan pada 5 Oktober tahun lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 13 Oktober.

Dia merupakan salah seorang antara 17 yang ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana pembangunan kawasan pedalaman Sabah. — EdisiRakyat.com, 6 Januari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post