SEORANG lelaki berusia 35 tahun ditahan oleh pihak polis dalam operasi lalulintas yang dijalankan di Pandan Johor Baru kerana memiliki 78 saman-saman lalulintas tertunggak yang dikumpulnya sejak 13 tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, (TEID) Superintendan Razak Md Said dilaporkan berkata, kebanyakkan saman-saman berkenaan adalah berhubung kesalahan meletak kereta.
Katanya lelaki berkenaan bagaimanapun dibebaskan pada malam yang sama selepas pihak polis merakamkan kenyataannya dan mengingatkan agar dia mula membuat pembayaran hutang-hutang saman tersebut atau berdepan tindakan undang-undang, termasuk menyenaraihitamkan namanya dalam rekod polis.
"Lelaki itu telah dibebaskan kerana dia berjanji untuk melunaskan hutang-hutang saman secepat mungkin dan memerlukan masa untuk mengumpul duit... jadi, kami tawarkan kepadanya untuk melunaskan hutang secara berperingkat, bayaran berjadual," katanya.
Kata Razak, pihak polis memahami segolongan orang mempunyai masalah kewangan dan cenderung untuk menangguhkan hutang saman mereka, namun ia tetap tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan saman secepat mungkin bagi mengelakkan hukuman lebih berat.
"Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi penunggang motosikal tidak membayar saman trafik," katanya.
Katanya lagi, bagi mereka yang mengalami masalah untuk membayar saman, boleh berhubung dengan TEID bagi mendapatkan kaedah alternatif untuk membayar secara berperingkat sekiranya tidak mampu membayar sekaligus.
Dalam operasi selama tiga jam malam semalam, yang dijalankan bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), katanya lebih 600 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 244 saman telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik.
"Polis mengeluarkan sebanyak 156 saman kerana kesalahan mengubahsuai kenderaan, manakala JPJ mengeluarkan sebanyak 75 saman atas kesalahan mengganggu alat gantian kenderaan. Jabatan Alam Sekitar pula mengeluarkan 13 saman kepada pemandu lori, kerana kenderaan yang dipandu mereka melebihi had bising," katanya.
Tambahnya lagi, operasi bersama seperti ini dibawah strategi lautan biru kebangsaan akan dijalankan dari masa ke semasa di masa hadapan bagi memastikan penunggang motosikal negeri tersebut mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang masa. — EdisiRakyat.com, 24 Januari 2018
إرسال تعليق