Gadis urut 13 tahun dakwa dirogol pelanggan, didera penjaga

SEBUAH pusat kesihatan di Semenyih, Selangor kini disiasat berikutan dakwaan dera dan rogol terhadap salah seorang pekerjanya seorang kanak-kanak berusia 13 tahun.

Difahamkan gadis itu yang berasal dari sebuah keluarga susah telah dihantar ke pusat kesihatan tersebut dalam bulan April untuk belajar teknik mengurut dengan harapan dia dapat membantu ekonomi keluarganya.

Bagaimanapun muncul dakwaan mengatakan bahawa gadis itu telah didera oleh penjaga pusat urut berkenaan, selain mangsa turut dirogol oleh seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata butiran tentang kesengsaraan yang dialaminya muncul sejak Hari Khamis lalu apabila gadis terbabit dihantar ke Taman Cheras Permata untuk mengurut seorang pelanggan wanita.

Ketika sedang mengurut, pelanggan berkenaan ternampak kesan terbakar di tangan gadis itu.

"Wanita itu bertanya kepada gadis itu berkenaan kesan tersebut, dan gadis itu akhirnya membuka mulut tentang apa yang telah terjadi. Gadis itu mendakwa dia telah dicekik, ditumbuk, dan dipukul dengan senduk panas oleh wanita penjaga pusat kesihatan itu," katanya.

Wanita berkenaan lantas menghubungi sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi memohon pertolongan. NGO tersebut kemudiannya telah membawa gadis itu untuk membuat satu laporan polis pada hari berikutnya.

Gadis itu turut memberitahu pihak polis bahawa dia telah dirogol oleh seorang pelanggan ketika memberikan perkhidmatan mengurut di Sri Petaling pada bulan Mei.

Menurut Dzaffir hasil pemeriksaan kesihatan yang dibuat di Hospital Selayang menunjukkan gadis itu mengalami kesan terbakar di bahagian badan, tangan dan mulut.

Penjaga pusat kesihatan itu telah ditahan pada 5:30 petang semalam selepas pihak polis merakam kenyataannya di ibu pejabat Polis Daerah.

Katanya lagi pihak polis juga akan mengambil kenyataan dari pemilik pusat berkenaan yang berusia 54 tahun yang kini dirawat di hospital berikutan masalah jantung.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. — EdisiRakyat.com, 26 Disember 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post