Punca bayi mati dalam kandungan, bagaimana mengetahui dan cara mengelakkannya

KEMATIAN bayi dalam kandungan adalah mimpi buruk bagi ibu-ibu yang pernah mengalaminya. Justeru itu, adalah penting untuk mengetahui punca bayi mati dalam kandungan, bagaimana ia boleh dikesan dan cara mengelakkannya dari berlaku.

Lebih daripada 50 peratus kematian janin tidak dapat ditentukan sebab-sebabnya. Walaupun begitu dari jumlah yang diketahui, terdapat beberapa punca yang telah berjaya dikenalpasti. Antaranya:

1. 60% berpunca daripada tali dan tali pusat seperti berlaku jangkitan, uri terpisah, kedudukan uri di bahagian bawah rahim, ketidakupayaan uri, tali pusat tertekan dan tali pusat terkeluar.

2. 20% berpunca daripada permasalahan obstetrik ibu dan penyakit yang dihidapi oleh ibu.

3. 10% berpunca daripada kecacatan janin.


keguguran.png


4. Hampir 7 % berpunca daripada penyakit yang dihidapi oleh janin.

5. 3% daripada sebab-sebab lain.

Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan, adalah didapati 80% daripada keguguran awal berpunca daripada faktor-faktor kecacatan janin atau kecederaan kepala janin yang sedang membesar.

Pada 3 bulan kedua, kematian janin berpunca daripada penyakit seperti penyakit kelamin, rubella, virus mycoplasma dan toxoplasmosis.

Sebab-sebab lain seperti kelainan jenis dan kumpulan darah serta kekurangan zat makanan terutamanya protein dan vitamin juga boleh mengakibatkan kematian janin ketika ini.

Keganjilan yang terdapat pada rahim seperti kelainan semulajadi, ketumbuhan, pintu rahimnya terbuka dan parut daripada pembedahan dahulu juga boleh mengakibatkan kematian janin di pertengahan dan akhir waktu kehamilan.

Begitu juga dengan keracunan dari ubat-ubat kimia, gas beracun dan pancaran radiasi boleh mengakibatkan janin mati. Gangguan emosi yang keterlaluan seperti ketakutan, kesedihan, kemarahan dan kerungsingan juga dipercayai menjadi punca bagi sesetengah ibu yang sensitif.

Kecederaan sama ada secara terus atau sebaliknya seperti tumbukan atau tekanan kuat pada janin, pembedahan dan kejutan elektrik telah juga didapati menyebabkan punca kematian janin.


Bagaimanakah mengetahui kematian janin telah berlaku?

Secara zahirnya, seseorang ibu akan cepat menyedari yang ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada janin yang dikandungnya apabila pergerakannya berkurangan atau tidak jelas dan perutnya tidak menunjukkan tanda-tanda membesar.

Sebilangan kecil ibu melaporkan mereka menerima alamat (tanda) misalnya dalam mimpi. Apabila siasatan dan pemeriksaan dijalankan oleh doktor, terdapat tanda-tanda berikut:

1. Ujian kehamilan bertukar menjadi negatif dua kali berturut-turut disamping rahim tidak membesar lagi.

2. Pergerakan janin tidak dirasai oleh ibu dan doktor atau bidan.

3. Rahim gagal membesar.

4. Degupan jantung tidak kedengaran apabila diperiksa dengan alat pendengaran (stetoskop atau mesin doppler).

5. Tanda-tanda kehamilan seperti pembesaran buah dada dan rahim serta pertambahan berat badan terhenti atau hilang.

Ketinggian rahim kurang dari dari umur kehamilan dan buah dada hilang ketegangannya.

6. Lelehan bewarna coklat keluar dari saluran faraj.

7. Melalui pemeriksaan ultrasound kelihatan:

i). Ovum yang telah musnah
ii) pergerakan jantung janin tidak kelihatan pada minggu ke-10 kehamilan
iii) pergerakan janin tidak kelihatan
IV) tumbesaran kepala janin tidak berubah

Jika telah disahkan bahawa janin anda telah mati, doktor akan memilih untuk melakukan proses D&C (dilation& curretage), atau kelahiran secara paksa mengikut umur janin untuk mengeluarkannya.



Ibu-ibu yang telah mengalaminya akan merasa bimbang dan takut untuk hamil lagi. Pertanyaan yang sering dikemukakan adalah, adakah kemungkinan ia akan berulang lagi?

Jika anda mengalami masalah begini, mintalah doktor anda menerangkan mengapa kematian janin berlaku.

Kebanyakan kematian janin tidak mungkin berulang seperti sebahagian keadaan yang disebabkan oleh kelainan genetik (warisan).

Doktor anda pasti akan menerangkan kemungkinannya.

Walaubagaimanapun, pasangan yang normal juga boleh membawa benih yang cacat. Keadaan ini akan mengakibatkan kehamilan yang tidak normal.

Keguguran adalah suatu proses penolakan semulajadi dan berlaku secara kebetulan sahaja. Ia tiada kaitan langsung dengan sebarang perbuatan anda dan pasangan anda.


Bagaimanakah caranya mengatasi masalah kematian janin ini?

Apabila anda hamil lagi, untuk memastikan kehamilan tersebut tidak berakhir dengan kematian janin, anda diberi rawatan dan penjagaan yang rapi dari awal kehamilan lagi.

Tumbesaran janin diawasi melalui ultrasound, pemeriksaan darah, air kencing, air ketuban dan tisu janin jika difikirkan perlu.

scan-baby


Anda mungkin perlu pemantauan rapi yang dijalankan di hospital malah ada ibu-ibu yang menghabiskan sebahagian besar masa kehamilannya di wad.

Bagi kehamilan yang berisiko, anda juga perlu mengurangkan beberapa aktiviti biasa yang dilakukan ataupun dihindarkan sama sekali seperti:

i) kerja-kerja berat yang memerlukan banyak tenaga
ii) perjalanan yang jauh dan memenatkan
iii) tempat peranginan yang tinggi
IV) menaiki kapal terbang
V) hubungan badan

Doktor akan menentukan keadaan kehamilan anda. Bertanyalah selalu kepada doktor tentang perkembangan dan keadaan janin dalam kandungan anda.

Fahamilah sebab-sebab pantang larang yang dikenakan terhadap diri anda.

Dengan berbuat demikian, anda akan lebih bekerjasama mematuhi nasihat doktor demi kepentingan diri anda dan janin yang dinanti-nantikan itu. Mudah-mudahan kehamilan anda akan berjalan sebaik mungkin. — EdisiRakyat.com, 1 November 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post