Pelajar curi barang kemas ibu angkat untuk menyara teman lelaki

SEORANG pelajar didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini kerana mencuri dan menjual barang kemas ibu angkatnya bernilai RM5, 305 untuk menyara teman lelaki.

Nurul Aqilah Abdullah, 20 dari Tangga Batu mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan membantu menyembunyikan barang-barang curi selepas kertas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Norina Maludin lapor NST.

Aqilah didakwa di bawah Seksyen 414 (Kanun Keseksaan) kerana menjual seutas rantai leher berharga RM605, seutas gelang berharga RM1,250 dan seutas lagi rantai bernilai RM3,450 yang kesemuanya berjumlah RM5,305 milik ibu angkatnya Zalina Ramli berusia 40 tahun.

Tertuduh mengaku melakukan semua kesalahan tersebut di Tanjung Jewellers Enterprise pada 4 April, 8 April dan 10 April di antara jam 9 pagi dan 5 petang tahun ini.



Berdasarkan fakta kes, ibu angkat tertuduh menyedari bahawa sebuah beg barang kemas di dalam laci miliknya telah hilang sekaligus menyebabkan dia bertanya kepada anak angkatnya itu pada 24 Jun.

Aqilah mengaku telah mencuri barang kemas tersebut dan menjualnya di sebuah kedai emas dan wang hasil jualan itu dibelanjakan untuk dirinya dan teman lelaki.

Ibu angkat tertuduh membuat laporan polis sekaligus membawa kepada penangkapan Aqilah dan teman lelakinya, Muhammad Aidil Japri, 19 di rumahnya di rumah pangsa Seri Kubu, Jalan Kampung 4 pada 8 September lalu.

Aqilah kemudian membawa pihak polis ke sebuah kedai barang kemas, di mana pemilik kedai itu Kang Hock Eng, 28 kemudiannya menyerahkan 9 salinan resit jualan dan memberitahu pihak polis bahawa barangan kemas tersebut telah dicairkan dan dijual.

Timbalan pendakwa raya Mazuin Hashim meminta mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pencegahan kerana Aqilah telah berulang kali mencuri barangan kemas milik keluarga angkatnya.

Aqilah yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan dengan alasan dirinya masih muda dan mahu melanjutkan pelajaran.

Norina kemudian mengenakan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara selama 6 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dalam satu lagi perbicaraan berasingan, Aqilah mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di bawah Seksyen 414 (KK) kerana menyembunyikan barangan curi di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Saleh.

Aqilah mohon dibicarakan terhadap tuduhan membantu menyembunyikan barangan curi dengan cara menjual sepasang subang, seutas gelang, dan seutas gelang kaki yang kesemuanya bernilai RM2,590. — juga seutas gelang berharga RM1,108, seutas gelang berharga RM600 dan seutas gelang, sepasang subang dan sebentuk cincin berharga RM4,500 kesemuanya berjumlah RM8,798.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama iaitu Tanjung Jewellers Enterprise diantara 9.00 pagi pada 16 Mac dan 7.00 petang 25 Mac tahun ini.

Majistret Muhammad Firdaus, membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes dan melantik peguam.

Kedua-dua denda dan ikat jamin tidak dibayar. — EdisiRakyat.com, 3 November 2017

1 Comments

  1. Ada dalam kalangan gadis khususnya Melayu terlalu JAHIL dalam bab ini dan merelakan diri mereka dijadikan alat oleh teman lelaki. Kaum gaduis, berhentilah menjadi JAJHIL. Jadilah manusia yang cerdik...

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post