Kos sara hidup tinggi punca orang ramai sertai pelaburan haram

KOS sara hidup yang tinggi antara punca golongan pekerja terutamanya mereka yang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mudah terpengaruh untuk menyertai pelbagai skim pelaburan haram atau bersifat meragukan lapor thesundaily.

Seorang kakitangan kerajaan dan hanya mahu dikenali sebagai Azrul, 33 dipetik sebagai berkata, pencarum KWSP adalah kumpulan paling mudah didekati, dan mereka akhirnya terperangkap dalam skim pelaburan yang menawarkan umpan pulangan lumayan.

Kakitangan agensi kerajaan dari Sepang itu mengakui, dia adalah antara mangsa penipuan syarikat pelaburan meragukan, dan telah kerugian kira-kira RM5,000 3 tahun lalu.

"Jika kita lihat pendekatan mereka, mereka memang mensasarkan pencarum kerana mempunyai simpanan dalam KWSP. Sebagai penjawat awam, selepas perkhidmatan disahkan, kami mudah keluarkan duit dari KWSP dan inilah kemudahan yang saya gunakan," katanya seperti yang dipetik oleh BERNAMA.

Menurut Azrul, dia cuba mencari jalan mudah dan cepat bagi meningkatkan pendapatan, seterusnya mengeluarkan RM5,000 dari akaun KWSP, untuk menyertai satu skim yang dikenalkan oleh rakannya yang menawarkan pulangan berganda dari nilai yang dilaburkan.

"Gaji saya sebagai kakitangan awam tidak begitu tinggi, pada masa itu, saya sedang mencari jalan menambah pendapatan kerana saya perlu membayar sewa rumah, makan dan minum, beli petrol untuk motosikal, dan berniat untuk berkahwin,"

"Bila saya ternampak kawan bercakap tentang skim itu dan telah melabur sendiri saya jadi yakin."

"Walaupun jumlah yang saya labur tidak begitu besar, malangnya duit itu hangus begitu saja, syarikat pelaburan itu tutup dan ejen menghilangkan diri. Pada masa itu saya dan rakan sedar kami telah ditipu, saya rasa sedih sebab saya gunakan simpanan KWSP untuk pelaburan yang tidak berguna," katanya.



Seorang lagi pencarum, hanya dikenali sebagai Nurfadzilah, berkongsi pendapat yang sama dengan Azrul bahawa pencarum KWSP terutamanya generasi muda, sangat bersemangat untuk laburkan duit KWSP bagi mendapatkan keuntungan.

"Kejadian ini berlaku sekitar enam tahun lalu, pada waktu itu pelaburan berasaskan MLM sedang menular di Lembah Klang. Saya hampir keluarkan sebahagian duit dari wang KWSP untuk sertai sebuah skim kerana saya kagum dengan gaya hidup mewah mereka yang telah melabur," kata wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta itu.

Menurut Nurfadzilah, rancangannya untuk menyertai pelaburan itu tertangguh disebabkan wang KWSP miliknya tidak boleh dikeluarkan kerana tidak memenuhi syarat-syarat pengeluaran.

"Ejen pelaburan tersebut telah meminta sebahagian duit dan mahu saya membayar sebelum satu tarikh akhir, sekiranya saya mahu dapat pulangan dari pelaburan itu seperti yang dijanjikan,"

"Namun wang KWSP saya tidak dapat dikeluarkan sebelum tarikh akhir itu. Akhirnya saya dapati syarikat yang memperkenalkan skim pelaburan itu telah diserbu oleh pihak polis kerana aduan dari orang ramai yang gagal menerima pulangan pelaburan dan mengalami kerugian modal," katanya.EdisiRakyat.com, 16 November 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post