Klinik silap beri arahan, bayi 14 bulan overdose ubat batuk

SEORANG bayi lelaki berusia 14 bulan dilapor mengalami "overdose" setelah diberi arahan untuk mengambil 4 kali ganda lebih ubat batuk dari yang sepatutnya untuk umur bayi tersebut.

Bayi itu yang mengalami batuk, diceritakan oleh ibunya Belinda Lum, 33 telah dibawa ke Klinik dan Pembedahan YSL Bedok Singapura, pada hari rabu lalu (22 November 2017).

Ibu dan anak itu mendakwa telah bertemu dengan doktor dan diberikan sebotol ubat batuk Fedac, dengan arahan untuk mengambil 10ml ubat itu setiap kali sebanyak 3 kali sehari.



Kata Belinda, anaknya "tidur sangat nyenyak" selepas diberikan ubat batuk tersebut seperti yang diarahkan oleh doktor.

Mengesaki anaknya mungkin mengalami "overdose", Belinda segera membawanya ke Hospital Gleneagles pada awal pagi hari Khamis. Bayi itu telah diberikan antidot di hospital katanya.

Wanita itu terpaksa memberikan air melalui picagari kepada anaknya bagi mengekalkan kandungan air dalam badan dan bayi itu dikatakan tidur secara berterusan selama 44 jam.

Pada hari Ahad, bayi itu dibawa ke bahagian neurolgi paediatrik Hosital Mount Elizabeth Orchard selepas tangannya didapati menggeletar.

Bercakap kepada The Straits Time, Belinda yang bekerja sendiri berkata, dia telah bertemu dengan doktor dan pengurus klinik berkenaan selepas kejadian itu.

"Pembantu klinik yang telah silap memberikan ubat. Saya telah meminta pampasan dan permohonan maaf secara umum," katanya.

Belinda juga telah melakukan satu temujanji untuk membuat aduan kepada Majlis Perubatan Singapura.

Belinda kali pertama berkongsi cerita itu melalui platform kutipan derma give.asia.

Katanya tindakan itu bagi menggalakkan orang ramai untuk berkongsi ceritanya di Facebook, bagi meningkatkan kesedaran terhadap insiden itu. Belinda akan mendermakan SD1 (RM3) bagi setiap cerita yang dikongsi kepada 3 pertubuhan-pertubuhan kebajikan.

Dr Yik Keng Yeong, pemilik Klinik dan Pembedahan Tan dan Yik di Bishan berkata, bagi bayi berumur seperti anak Belinda itu, patutnya hanya diberikan 1.5ml hingga 2.5ml ubat Fedac.

Ubat itu juga biasa digunakan bagi merawat simptom lain seperti kesejukan dan alergik.

"10ml adalah dos untuk orang dewasa. Pengambilan berlebihan Fedac boleh mengakibatkan debaran hati, dan hilang sedar. Bagi kes ini, tiada kebarangkalian pesakit akan mendapat komplikasi di masa hadapan," katanya.

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan menyatakan menerusi laman sesawang rasminya bahawa Fedac dalam bentuk tablet atau cecair, tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 2 tahun.

Namun kata Dr Yik, adalah menjadi amalan biasa pengamal perubatan memberikan ubat batuk untuk kanak-kanak lebih tua dan dewasa kerana mereka tiada simpanan ubat yang spesifik untuk bayi.

"Oleh itu, penelitian mesti diambil di dalam memberikan ubat berkenaan dalam dos yang lebih rendah," tambahnya. — EdisiRakyat.com, 28 November 2017

أحدث أقدم