20,000 guru bakal dipecat gagal ujian direka untuk murid 10 tahun

SERAMAI lebih 20,000 orang guru di Nigeria berdepan dipecat selepas mereka dilaporkan gagal lulus ujian yang direka untuk murid berumur 10 tahun.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menyokong tindakan itu oleh Utara Negeri Kaduna sambil menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang tragik.

"Ini merupakan satu situasi yang sangat serius apabila guru-guru tidak boleh lulus ujian yang mereka sepatutnya ajarkan murid-murid agar lulus. Kita berada dalam situasi yang sangat tragik," katanya seperti yang dipetik oleh metro.co.uk.

Minggu lalu, Gabenor Kaduna memuatnaik keputusan ujian guru-guru sekolah rendah melalui akaun Twitter.

"Adakah anda benarkan orang seperti ini untuk mendidik anak-anak anda?" Soalnya.

guru gagal jawab soalan sekolah rendah

Menurut gabenor itu, guru-guru yang mendapat markah di bawah 75 peratus akan dipecat namun dibenarkan memohon semula sekiranya boleh meningkatkan markah diperolehi.

Sejumlah 19,000 permohonan telah diterima bagi menggantikan guru guru yang bakal dipecat lapor sumber berita BBC.

Persatuan pekerja bagaimanapun membantah rancangan itu untuk memecat guru guru terbabit dan menganggap ia sebagai satu gerakan "propaganda".

Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Unicef mendapati bahawa Nigeria merupakan negara paling ramai kanak-kanak tidak bersekolah di dunia.

Sekitar 10 juta kanak-kanak tidak menerima pendidikan asas di Nigeria, dan Unicef menggambarkan sistem pendidikan negara itu dikendalikan oleh guru-guru yang lemah dengan kemudahan yang tidak sempurna. — EdisiRakyat.com, 14 November 2017


1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post