Berdengkur semasa tidur: sebab-sebab, komplikasi dan kaedah rawatan

BERDENGKUR adalah bunyi bising semasa bernafas, apabila sebahagian daripada saluran pernafasan atas seseorang tersumbat. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.

Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain.

Berdengkur biasanya bertambah kerap selari dengan peningkatan umur dan biasanya ia tidak membahayakan.


SEBAB-SEBAB BERDENGKUR

1. Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak.

Apabila otot tidak tegang akibat arak atau ubatan yang menyebabkan otot lemah, lidah seseorang akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas. Ia juga berlaku semasa waktu tidur yang nyenyak.

2. Tisu tekak yang besar dan tebal.

Kanak-kanak yang mempunyai tonsil dan tisu adenoid yang membengkak selalunya berdengkur.

3. Orang yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar juga mudah berdengkur.

4. Ovula (anak tekak) yang panjang

Ovula yang panjang akan mengecilkan rongga pembukaan dari hidung ke tekak. Getaran berlebihan dari tisu ini akan mengakibatkan dengkuran. Selain itu saluran pernafasan juga mudah tersekat.

5. Hidung yang tersumbat dan sukar bernafas.

Keadaan ini menyebabkan seorang individu itu menjadi lebih kerap menyedut udara untuk bernafas. Ini mengakibatkan ruang vakum berlebihan di dalam tekak dan mengakibatkan tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam sehingga mengakibatkan dengkuran.

6. Lain-lain

Antara sebab lain adalah batang hidung yang bengkok, polip dan jangkitan sinus.


KOMPLIKASI

Berdengkur juga boleh mendatangkan masalah tidur yang serius dipanggil sebagai "sleep apnea" — suatu keadaan apabila seseorang itu berhenti bernafas lebih dari 10 saat buat seketika semasa tidur.

"Sleep apnea" boleh membahayakan diri dan memerlukan rawatan lanjut.


KAEDAH RAWATAN

Keadaan berdengkur yang teruk ialah mereka yang berdengkur pada mana-mana kedudukan atau sehingga mengganggu orang lain.



Pakar telinga hidung dan tekak akan memeriksa hidung, mulut, tekak, lelangit, dan leher orang yang berdengkur.

Kajian semasa tidur yang dilakukan di dalam "makmal tidur" perlu bagi mengenal pasti tahap keseriusan dengkuran dan kesan kesihatan ke atas mendengkur tersebut.

Biasanya pemeriksaan akan tertumpu kepada sama ada dengkuran berpunca daripada alahan hidung, resdung, asma, bronkitis, jangkitan, kecacatan, atau masalah tonsil dan adenoid.


Saranan bagi orang yang kuat berdengkur

1. Kurangkan berat badan jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan.

2. Kurangkan pengambilan minuman beralkohol atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk pada waktu tidur.

3. Elakan mengambil tranquilizer, pil tidur dan antihistamine sebelum tidur.

4. Amalkan tidur pada waktu yang tetap setiap hari.

5. Utamakan posisi tidur mengiring berbanding posisi terlentang.

6. Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tidak tertolak ke belakang.

Sekiranya anda mengalami masalah tidur berdengkur, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat khusus bagi merawat penyakit tersebut.

Ubat yang dibekalkan hendaklah berupaya memperbaiki keseluruhan fungsi organ dalaman termasuk hidung, saluran esofagus dan anak tekak. — EdisiRakyat.com, 19 Oktober 2017

Post a Comment

أحدث أقدم