Apakah harta yang diwajibkan zakat?

SEBENARNYA Al-Quran tidak menentukan secara pasti harta yang wajib dikenakan zakat. Hanya ada beberapa perkara sahaja yang disebut.

Al-Quran hanya menyebut tentang keuntungan daripada usaha kerja dan apa yang dikeluarkan dari bumi dalam surah Al-Baqarah ayat 276, emas dan perak dalam surah At-Taubah ayat 34 serta hasil tanaman dan buah dalam surah Al-An'am ayat 141.

Selain itu, Al-Quran tidak menerangkan secara terperinci setiap satunya, kesemua ini menjadi tanggungjawab pembawa risalah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran hanya menyebutnya sebagai harta (al-mal).

al-quran

Dalam bahasa Arab harta disebut sebagai "mal". Harta adalah benda yang disukai oleh manusia dan boleh disimpan. Rumah, kereta, motosikal, duit, kain baju, kedai dan lain-lain adalah harta. Manfaat sesuatu benda juga adalah dikira sebagai harta.

Zaman dahulu kala jenis harta mungkin agak terhad. Oleh itu harta yang dikenakan zakat juga tidak banyak. Antaranya,

1. Emas dan perak
2. Haiwan ternakan
3. Hasil tanaman
4. Barang perniagaan
5. Hasil galian
6. Harta rikaz

Oleh kerana sistem pendapatan individu dan masyarakat sudah berubah, maka harta yang dikenakan zakat juga turut bertambah. Antaranya ialah,

1. Gaji bulanan
2. Pendapatan hasil sewaan.
3. Wang simpanan.
4. Wang caruman KWSP.

Timbul persoalan di fikiran kita adakah semua harta diwajibkan untuk zakat? Adakah jika ada padi seguni atau dua pun kena zakat? Takkanlah kalau ada wang RM200 dalam poket pun kena zakat juga?

Memanglah harta itu banyak jenis. Makanan pun harta juga, baju panas busuk pun harta juga, stokin yang sudah dua minggu dipakai juga adalah harta. Kalau ada duit sepuluh ringgit pun sudah dikira harta. Jadi tak kan macam ini pun kena zakat juga?

Sebenarnya bukan semua jenis harta dikenakan zakat. Mesti ada syarat-syarat dahulu kalau cukup molek syarat ini barulah dikenakan zakat. Antara syaratnya ialah:

1. Pemilik harta yang sempurna.

Harta yang diwajibkan zakat mestilah milik tuannya. Harta milik orang lain tidak boleh dikira sebagai harta zakat kita, kalau duit simpanan biasanya mestilah buku akaun nama kita, kalau duit gaji, gaji kita bukan gaji bos kita.

Harta juga mestilah sempurna milik dengan makna kita boleh mentadbir harta itu dengan mudah. Kalau hendak dikeluarkan boleh sahaja bila-bila masa sebab itu, kemungkinan besar duit caruman KWSP tidak dikenakan zakat selagi mana pencarum belum memiliki secara sempurna.

Sebabnya si pencarum tidak boleh menggunakan wang KWSP mengikut kehendaknya, kalau sudah pencen mungkin duit itu wajib dizakatkan.

Tapi kalau masih bekerja dan mencarum, biarlah dahulu.

2. Harta itu harta yang berkembang.

Harta yang diwajibkan zakat mestilah harta yang boleh memberi pulangan kepada pemiliknya kalau diperhatikan senarai harta yang dikenakan zakat, semuanya boleh berkembang.

Duit pun boleh berkembang kerana duit boleh dilaburkan, duit juga boleh digunakan sebagai alat membeli barang lain, haiwan ternakan juga boleh berkembang kerana ia boleh menghasilkan susu, makin gemuk dan beranak-pinak, buah juga berkembang kerana ia adalah hasil pertanian.

Oleh itu tak ada zakat yang dikenakan kepada perkakas rumah seperti kerusi meja, haiwan tunggangan, motosikal, pakaian harian dan sebagainya. Sekiranya ini pun kena zakat, letihnya nak membayar zakat.

Dalam satu hadis nabi S.A.W bersabda;

"Tidak ada ke atas Muslim pada hambanya dan haiwan tunggangannya oleh sedekah (zakat)"

Tapi kenapa harta yang tidak berkembang tidak dikenakan zakat? Itulah nikmat syariat di mana zakat diwajibkan bagi membantu golongan susah pada masa yang sama, syarikat tidak mahu membayar zakat pula menjadi susah kerana harta yang tidak berkembang pula terpaksa dizakatkan sebab itu ada satu sabda yang bermaksud:

"Tidak akan berkurang harta daripada sebab bersedekah"

( mafhum hadis riwayat Tarmizi)

3. Mencapai kadar nisab.

Harta itu juga mestilah ada kadar yang tertentu kalau ada dua ekor kambing takkan boleh dikenakan zakat. Nisab ialah kadar, dengan kadar tertentu yang mencukupi nisabnya, barulah wajib zakat.

4. Cukup tempoh haul iaitu setahun.

Tempoh ini bagi haiwan ternakan emas perak dan barang perniagaan, ini kerana tempoh ini adalah tempoh yang sesuai bagi mengembangkan harta kalau haiwan yang bunting mungkin sudah beranak.

Adapun buah dan bijian maka tidak disyaratkan tempoh haul kerana buah dan bijian sendiri adalah hasil daripada proses yang lama syarat haul ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan;

"Tidak ada zakat pada harta hinggalah berlalu tempoh masa haul (setahun)". — EdisiRakyat.com, 16 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post