Dua termasuk Kerabat Diraja Johor dituduh memiliki syabu

SEORANG kerabat diraja Johor Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim, dilaporkan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki dan menyalahgunakan dadah empat bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 31 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa menyalahgunakan syabu (methaphetamine) di Balai Polis Bandar Utama sekitar jam 2.20 pagi pada 4 Jun 2017.

Kesalahan Itu tertakluk di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyalahgunakan dadah yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh bersama-sama dengan rakannya Puteri Nur zawani Mohd Rasid, 33 memiliki 0.9 g methaphetamine dan 0.15 g cannabis di Kondominium Ritz Perdana 2, Bandar Damansara Perdana 2 pada 12.00 tengahari hari yang sama.

Kesalahan ini pula tertakluk di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara 5 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Abu Arsaalna Zainal Abidin meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang untuk kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Datin Raj Preet Kaur yang mewakili mereka kedua-duanya, merayu agar dikenakan ikat jamin paling minimum.

Mahkamah memerintahkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM4,500 untuk Tunku Alang Reza dan RM3,000 untuk Puteri Nur Zawani. Sebutan kes ditetapkan pada 31 Oktober 2017. — EdisiRakyat.com, 21 September 2017

Post a Comment

أحدث أقدم