SEORANG anggota polis didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di jalan Batu Kawa, Kuching ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Permohonan reman terhadap suspek yang berasal dari Johor dan berusia 33 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Sataia Kombi di Mahkamah Majistret Kuching.
Kejadian cabul didakwa berlaku sekitar jam 10 pagi 4 September lalu apabila suspek yang juga merupakan kenalan keluarga mangsa telah berkunjung ke rumah keluarganya di Jalan Batu Kawa dan menawarkan diri untuk menghantar mangsa ke kedai kakaknya.
Namun ketika dalam perjalanan, dakwanya suspek telah melencongkan kenderaan dan membawa mangsa ke satu tempat terpencil berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am Batu Kawa dan melakukan serangan seksual terhadapnya.
Mangsa sendiri telah membuat laporan polis terhadap suspek pada jam 12.45 pagi semalam di Balai Polis Baru Kawa. Menurut mangsa, suspek yang bertugas di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontijen Polis telah melakukan serangan seksual ke atasnya.
Sepasukan Anggota Polis, dari IPD Padawan yang diketuai oleh Asisten Superitendan Sofian Abu Bakar telah menahan suspek pada sekitar jam 5 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Pinang Jawa.
Kes disiasat di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. — EdisiRakyat.com, 10 September 2017
إرسال تعليق