PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN hari ini mempersoalkan apakah ada lagi mana-mana individu berkait isu fitnah liwat 2 yang menerima wang dari Najib serupa yang diterima oleh peguam Umno Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah.
Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjawab dakwaan portal Sarawak Report pada 31 Mei yang lalu mendakwa sejumlah wang RM9.5 juta dari syarikat SRC International telah disalur ke dalam akaun peribadi milik peguam Umno itu.
Wan Azizah melahirkan rasa kesal kerana sehingga ke hari ini Datuk Seri Najib dan Tan Sri Shafee masih belum menjawab dakwaan tersebut yang disifatkan 'amatlah berat dan menimbulkan pelbagai persoalan'.
"Setakat ini rakyat Malaysia hanya mendengar alasan remeh yang diberi Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. Ini amatlah tidak memadai kerana persoalan pokok tidak terjawab," kata beliau.
"Mengapa dana dari SRC International ini berada di dalam akaun peribadi Dato Seri Najib dan mengapa RM9.5 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Tan Sri Shafee," soalnya.
"Tanpa jawapan yang jelas dan tepat dari Najib, dakwaan ini menimbulkan tanda tanya apakah dana ini berkait kes fitnah 2 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," soalnya lagi.
Selain itu Wan Azizah turut mempersoalkan sama ada Perdana Menteri telah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014). — EdisiRakyat.com, 4 Jun 2017
Post a Comment