Kepentingan kerusi keselamatan anak dan cara menggunakannya

SANGAT penting bagi anda untuk mengetahui cara memasang kerusi keselamatan anak dengan betul bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berapa kali kita digemparkan dengan kes kemalangan maut membabitkan anak kecil tercampak keluar dari kenderaan.

Baru baru ini pula, tular satu video di laman sosial satu kejadian menyayat hati melibatkan kemalangan menyebabkan seorang bayi berusia 3 bulan maut dikerusi penumpang hadapan manakala kerusi keselamatan bayi tersebut kelihatan tercampak keluar.

Atas sebab inilah, pentingnya kerusi keselamatan anak digunakan dan pemasangan yang betul perlu dilakukan.



Dalam menggunakan kerusi keselamatan, anda perlu meneliti aspek-aspek ini:


1. Pilih kerusi keselamatan yang sesuai

Jika anda miliki bayi berusia 12 bulan ke bawah, anda boleh menggunakan 'infant car seat'.

Bagi anak yang berumur 1 tahun keatas, anda perlu menggunakan 'toddler car seat'.

Apabila anak anda sudah melebihi kapasiti kerusi keselamatan, maka kerusi keselamatan itu tidak lagi dapat menjamin keselamatan anak anda.

Pastikan kerusi keselamatan yang dibeli sesuai dengan anak anda untuk memberikan keselesaan kepadanya.

Anak anda pasti tidak suka didudukkan di kerusi keselamatan yang sempit dan jika kepalanya melebihi bahagian atas kerusi bayi, itu tandanya kerusi tersebut tidak lagi sesuai untuknya.



2. Teliti sebelum membeli

Kunci utama ketika membeli kerusi keselamatan adalah penelitian agar kerusi yang dibeli memenuhi aspek yang diperlukan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan si manja anda.

Kerusi tersebut haruslah mudah dipasang sehingga bayi anda terikat dengan selamat.

Kerusi yang benar-benar sesuai ialah kerusi yang memiliki tiga poin keselamatan iaitu dua di bahu dan satu di kelangkang.


3. Memastikan pemasangan yang betul mengikut manual.

Terdapat pelbagai model kerusi keselamatan dengan cara penggunaan yang berbeza-beza.

Pastikan anda mengikut cara-cara yang ditunjukkan dan memasang kerusi keselamatan dengan betul. Kemalangan boleh berlaku jika ada salah satu bahagian yang tidak dipasang dengan betul.

Pastikan juga tali pinggang keselamatan dipasang dengan betul ketika digunakan. Anak anda akan sukar bernafas dan bergerak jika tali pinggang keselamatan terlalu ketat.

Jika terlalu longgar, fungsi tali pinggang keselamatan akan hilang.

Laraskan mengikut kesesuaian tubuh anak anda dan pastikan kedengaran bunyi "klik" ketika mengunci tali pinggang.


4. Letakkan kerusi di tempat duduk belakang

Kebanyakan kereta lazimnya dilengkapi beg angin untuk keselamatan yang akan terkeluar apabila adanya impak.

Jika bayi diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan, ini akan membahayakan bayi kerana kemungkinan beg angin yang keluar akan menolak bayi anda dengan kuat dan mungkin menyebabkan bayi anda tersepit.

Meletakkan bayi di bahagian tempat duduk hadapan penumpang memang memudahkan anda melihat bayi anda, tetapi ia meningkatkan risiko bayi melantun dan terkena kaca hadapan jika kemalangan berlaku.


5. Arah kerusi keselamatan dihadapkan

Bagi bayi yang berusia di bawah 1 tahun, kerusi keselamatan seelok-eloknya dihadapkan ke belakang. Ini bagi melindungi bahagian kepala, tulang leher dan tulang si kecil terlindung oleh kerusi jika kemalangan terjadi.

Jika anda berasa agak sukar memantau anak anda dalam keadaan ini, dapatkan aksesori seperti cermin yang boleh diletakkan di bahagian belakang untuk melihat keadaan anak anda dari semasa ke semasa.

Bagi anak yang berumur setahun ke atas bolehlah didudukkan menghadap ke depan agar mempunyai ruang untuk meletakkan kakinya.

Anak dengan berat badan 18 hingga 36 kg harus didudukkan di 'booster seat' kerana jika diletakkan di tempat kerusi penumpang, anak itu belum mempunyai cukup ketinggian dan mungkin boleh tercekik ketika memakai tali pinggang.


6. Membeli kerusi baru dan bukan kerusi keselamatan terpakai

Ramai orang merasakan lebih berbaloi membeli barang terpakai kerana merasa anak anda cepat membesar dan kerusi keselamatan bukan untuk kegunaan jangka masa panjang.

Risiko membeli kerusi keselamatan terpakai ialah kemungkinan beberapa komponen penting kerusi tersebut telah hilang sehingga tidak cukup kemampuan untuk melindungi anak anda.

Penggunaan kerusi keselamatan anak yang ideal  adalah dalam tempoh 5 tahun dengan penjagaan yang baik.


7. Disiplin dalam penggunaan

Kerusi keselamatan untuk anak anda harulah di gunakan sepanjang masa di dalam perjalanan tidak kira jauh ataupun dekat.

Anda tidak boleh menjangkakan bila kecelakaan boleh terjadi.

JIka anak anda menangis ketika duduk di kerusi, segera hentikan kenderaan. Jika dia hendak menyusu, berilah ia susu dalam keadaan kereta sedang berhenti

Anak anda juga mungkin menangis kerana keletihan dan ingin meregangkan badannya.

Berhenti rehat sebentar untuk memberi si manja dan diri anda masa untuk berehat.


Kesimpulannya, jika anda masih memangku bayi ketika menaiki kenderaan, hentikanlah sekarang.

Kesan ketika kereta break mendadak atau berlanggar boleh menyebabkan bayi anda terhentak pada dashboard atau kerusi di depannya, terpelanting hingga pecah cermin kenderaan atau tersepit di antara tubuh badan anda.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi, keselamatan di jalan raya jangan sesekali diabaikan.

Selain menitikberatkan cara pemanduan berhemah anda haruslah mengutamakan keselamatan diri sendiri dan nyawa penumpang.— EdisiRakyat.com, 9 Jun 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post