Kenali jenis Diabetes, gejala, punca dan cara merawatnya

MENYEBUT tentang diabetes pasti membuatkan kita terfikir akan gula. Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang berpunca daripada organ pankreas yang tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak memberi kesan.

Keadaan ini menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan sehingga menyebabkan ia terkumpul di dalam darah.

Peningkatan kadar gula dalam darah akan bertambah dan gula berlebihan ini akan dikeluarkan melalui air kencing.

Tindak balas normal adalah di mana insulin membantu glukosa memasuki sel badan dan menukarkan ia menjadi tenaga.



Glukosa merupakan sumber tenaga utama kepada tubuh badan..

Menurut Dr Zanariah Hussein dari hospital Putrajaya, dianggarkan 2.5 juta atau 10 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes malah angka tersebut terus meningkat dari tahun ke tahun dan situasi ini sangat membimbangkan.


Jenis-jenis diabetes:

1. Diabetes jenis 1

Diabetes jenis ini bergantung kepada keupayaan rembesan insulin yang biasanya menyerang kanak-kanak ataupun remaja.

Diabetes jenis 1 ini mungkin disebabkan oleh sel badan manusia yang tidak mampu merembeskan insulin.

Penghidap diabetes jenis 1 memerlukan kebergantungan 100% pada rawatan insulin.

2. Diabetes jenis 2

Diabetes jenis 2 biasa menyerang mereka yang berusia diantara 40 tahun dan ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan.

Mengikut kajian, terdapat 90% pesakit diabetes menghidap diabetes jenis 2.

Diabetes jenis 2 ini disebabkan oleh kualiti insulin yang dikeluarkan oleh pankreas agak tidak baik sehingga tidak berupaya merangsang sistem sel badan.

Keadaan ini menyebabkan gula kekal di dalam darah dan tidak dapat memasuki sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga.

Di Malaysia dianggarkan 10 hingga 15% penghidap diabetis jenis 2 memerlukan rawatan insulin dan selebihnya dipreskripsi dengan ubatan serta pemantauan kadar gula mengikut tempoh tertentu.

3. Diabetes jenis 3

Diabetes jenis ini menyerang ibu mengandung dan keadaan ini adalah sementara kerana dipengaruhi oleh perubahan hormon semasa hamil.


Gejala diabetes

Penyakit diabetes tidak dapat dikesan tanpa menjalani ujian darah.



Anda boleh mengenal pasti sama ada anda adalah penghidap diabetes berdasarkan simptom-simptom di bawah:

1. Kerap membuang air kecil
2. Mengalami penurunan berat badan
3. Mengalami luka dan kudis yang lambat sembuh
4. Kerap mengalami kegatalan terutamanya dibahagian kemaluan
5. Sering merasa dahaga
6. Kerap merasa letih dan mengantuk


Punca dan faktor yang mempengaruhi penyakit diabetes

1. Faktor genetik

Sekiranya salah seorang daripada ibu ataupun bapa anda menghidap diabetes kebarangkalian anda untuk mewarisi penyakit itu adalah tinggi.

2. Gemuk

Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, anda mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghidap diabetes.

Amalkan gaya pemakanan yang seimbang dan sihat serta kurangkan pengambilan gula berlebihan dalam pemakanan seharian anda.

3. Kurang bersenam dan melakukan aktiviti fizikal

Mereka yang kurang bersenam dan kurang melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh mudah diserang penyakit berbahaya.


4. Umur dan etnik selalu dikaitkan dengan risiko menghidapi diabetes.

Semakin meningkat umur anda semakin anda berisiko menghidap diabetes.

Ini kerana sistem tubuh badan anda semakin lemah seiring dengan peningkatan usia.


Cara mengelakkan jangkitan pada pesakit diabetes

1. Sentiasa menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan bakteria dan kuman

2. Sapu bedak di bahagian yang berpeluh

3. Kerapkan mandi

4. Jaga kebersihan mulut dan gigi

5. Memakai kasut dan selipar untuk mengelakkan luka

6. Memotong kuku dengan berhati-hati


Cara merawat diabetes

Diabetes adalah sejenis penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal.

Caranya ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengawal berat badan agar tidak berlebihan dan obesiti dengan cara bersenam dan melakukan aktiviti fizikal.

Ia bukan sahaja memberi kesan pada penyakit diabetis malah memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada mengurangkan risiko diserang penyakit kronik lain seperti penyakit darah tinggi dan serangan jantung.

Amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam seminggu untuk menyihatkan tubuh badan anda.

Pastikan anda mengambil 6 hingga 8 gelas air sehari untuk membantu proses metabolisma tubuh badan anda dan menyingkirkan gula yang berlebihan di dalam darah melalui air kencing.

Pesakit perlu mengawal paras gula dalam darah bagi mengurangkan risiko komplikasi diabetes seperti kabur penglihatan, kerosakan ginjal, serangan jantung, tekanan darah tinggi, angin ahmar, penyakit saraf dan tisu mati.

Pastikan anda mengambil ubatan seperti yang dijadualkan dengan betul dan mengambil insulin seperti yang di arahkan.— EdisiRakyat.com, 10 Mei 2017

Post a Comment

أحدث أقدم