Jiran maut, kereta dipandu remaja 13 tahun rempuh rumah

SEORANG wanita warga emas berusia 82 tahun yang dikenali sebagai Lai Kwai Lan terbunuh apabila sebuah kereta merempuh ruang tamu rumahnya di Kampung Baru Ladang Banir, Temoh kira-kira jam 5.15 petang sabtu lalu.

Kejadian berlaku akibat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang merupakan jiran mangsa cuba memandu kereta Honda Accord milik abangnya lalu tertekan pedal minyak ke arah mengundur dan melanggar rumah mangsa yang ketika itu sedang bersendirian di ruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa yang ketika itu berada di ruang tamu ketika kejadian, mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.



Mangsa bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi.

Siasatan awal mendapati remaja lelaki itu memandu kereta itu tanpa pengetahuan abangnya yang ketika kejadian berada di kebun manakala ibu bapa remaja itu berada dalam rumah.

“Mangsa tinggal seorang diri dan jarak antara rumahnya dengan jirannya itu kira-kira 20 meter,” katanya.

Akibat kemalangan itu, sebahagian daripada dinding rumah runtuh manakala pintu jeriji depan telah bengkok.



 Bagaimanapun belum ada tangkapan dibuat dan remaja yang memandu kereta itu  telah disoal siasat oleh polis.

Anak perempuan mangsa yang berusia 41 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Lee ketika ditemui sumber di tempat kejadian dipetik sebagai  berkata, kebiasaannya ibunya  akan menonton televisyen pada waktu itu.

Dia yang tinggal berdekatan rumah ibunya terdengar bunyi benda terhempas dengan kuat.

Sepupu dan jiran-jirannya kemudian melihat kereta di ruang tamu ibunya dan terus menerpa untuk menolak ia keluar dari rumah tersebut.

Menurut Lee,  ibunya sihat walaupun umurnya sudah begitu tua dan masih kuat untuk memasak dan menjaga dirinya sendiri.

Dia menambah bahawa keluarga remaja itu ada memohon maaf kepadanya selepas kejadian itu, tetapi dia akan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan. — EdisiRakyat.com, 7 Mei 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post