Demi pelajar, guru sanggup redah 130km jalan berlumpur dan terserempak binatang buas

MELIHAT dari sosok penampilannya, sekali pandang pasti anda akan menyangka bahawa yang berdiri di hadapan anda seorang tukang kebun.

Ahmad Saidin Mohd Idris, seorang guru yang begitu berjasa sanggup bangun seawal jam 5 pagi dan memulakan perjalanan pergi balik dengan menaiki motosikal sepanjang 130 km ke Sekolah Kebangsaan Lenjang Lipis.

Sejak 3 tahun lalu dihantar berkhidmat di sekolah itu,meredah jalan berlumpur, berbukit, lecak, menyusuri hutan dan terserempak binatang buas bukan lagi perkara asing.

Seawal jam 5.30 pagi dia akan memulakan perjalanan selama 2 jam menaiki motosikal, memakai kasut but, berseluar jeans lusuh dan memakai t-shirt lengan panjang dan memastikan dia sampai tepat pada waktunya.



Komited menjaga penampilannya, dia akan membawa pakaian formal di dalam beg supaya tidak kotor kerana jalan berlecak dan berlumpur yang dilaluinya dan akan menukar pakaian setibanya di sekolah.

Demi kasihnya kepada 456 pelajar orang asli dan 17 orang anak tempatan, bapa kepada anak dua, berusia 40 tahun ini gagah melalui kepayahan ini.

Jatuh motor dan cedera bukan lagi perkara baru buat Ahmad Saidin memandangkan sepanjang perjalanan jalan yang dilalui sangat mencabar lebih-lebih lagi di jalan di Pos Betau yang agak tidak baik dan sangat licin ketika hujan serta mempunyai lopak besar.
Menurutnya, jalan-jalan ini hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan ada antara 25 orang guru yang mengajar di sekolah itu meletakkan kenderaan di Balai Polis Sungai Koyan.

Walaupun sekolah ini mempunyai banyak kekurangan dari kemudahan asas seperti bekalan air yang terpaksa didapati dari sungai berdekatan, elektrik solar dan tidak mempunyai talian telefon dan internet, beliau menikmati suasana pembelajaran di situ atas rasa tanggungjawab walaupun pada awalnya merasa sukar.

Dia menambah bahawa kebanyakan guru di sekolah itu mempelajari dialek semai untuk merapatkan hubungan dengan pelajar di sana.

Beliau menyatakan bahawa berasa teruja untuk memperkenalkan aktiviti sukan kepada pelajarnya kerana dengan sukan dapat memberi mereka sebab untuk berhubung dengan dunia luar.



Ini membuatkan anak-anak orang asli ini lebih bersemangat untuk ke sekolah kerana tidak mahu terlepas menyertai aktiviti sukan sambil menambah seorang pelajarnya berusia 12 tahun telah mewakili SK Lenjang di Majlis Sukan Sekolah Kebangsaan (MSSM) dalam acara merentas desa.

Sambutan hari guru di sekolah ini begitu unik di mana guru-guru akan membuat jamuan makan kecil untuk pelajar dan memberi coklat.

Apa yang begitu mengujakan adalah hubungan yang wujud di sekolah ini sangat indah kerana mereka ibarat sebuah keluarga besar dimana ketika hari sukan bukan sahaja guru dan murid terlibat, tetapi kakitangan sokongan sekolah serta pengawal keselamatan juga mengambil bahagian.

Bagu Ahmad Saidin, keutamaannya dan guru-guru lain bukan sahaja untuk memberikan ilmu kepada anak-anak di pedalaman ini, tetapi juga menjadi penyokong kuat anak-anak ini dan memotivasikan mereka agar meneruskan pengajian ke tingkatan satu apabila tamat darjah 6.

Benarlah kata-kata cerdik pandai, tanpa guru siapalah kita. Jasa guru tiada tandingannya kerana kejayaan kita sekarang kerana ilmu yang diberikan oleh seorang guru.

Selagi hayat dikandung tanah, jasamu guru tetap dikenang jua. Selamat hari guru buat semua-semua guru. Tanpa anda siapalah kami.Terima kasih Cikgu.— EdisiRakyat.com, 17 Mei 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post