SEORANG cikgu sekolah ditahan kerana didakwa melakukan pencabulan seksual kepada sekurang-kurangnya 15 orang pelajar perempuan muda lapor media tempatan negara China.
Xu Guozheng seorang guru matematik di sebuah sekolah di daerah tengah Negara China, berusia dalam lingkungan umur 60 an dituduh menyentuh secara tidak wajar pelajar wanita ketika di dalam bilik darjah.
Rata-rata pelajar tersebut baru berumur sekitar 10 tahun dan didakwa telah diugut oleh guru terbabit supaya tidak menghebohkan perkara itu.
Pihak polis mengesahkan terdapat sejumlah 15 aduan telah diterima melibatkan 15 orang mangsa, namun ibu bapa di sekolah terbabit menganggarkan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Segelintir ibu bapa sengaja enggan membawa perkara itu kepada pihak berkuasa jika ia melibatkan anak mereka yang menjadi mangsa kerana bimbang boleh menjejaskan masa depannya.
Malah ada segelintir ibu bapa yang terus menafikan bahawa anak mereka pernah menjadi mangsa pencabulan oleh guru terbabit.
Rata-rata pelajar wanita yang menjadi mangsa kerakusan guru tersebut mendakwa mereka menjadi mangsa ketika duduk di dalam kelas. Ramai juga pelajar lelaki yang menyaksikan kejadian itu namun mereka didakwa sekadar memerhati sambil ketawa.
Salah seorang ibu kepada mangsa dipetik sebagai berkata anak perempuannya sebelum ini seorang yang sangat periang dan sering mendapat markah yang cemerlang dalam pelajaran. Namun kini dia tidak mahu makan dan minum, jarang bercakap dan tidak mahu sesiapa menyentuh dirinya.
Seorang lagi ibu mangsa mendakwa dia telah dibelasah ketika cuba untuk menyuarakan perkara itu kepada pihak sekolah.
Setakat ini pihak sekolah dikatakan enggan memberi sebarang ulasan apabila ditanya oleh wartawan tentang perkara itu.
Ramai pelajar-pelajar wanita yang mendakwa pernah dicabul secara seksual oleh guru tersebut telah dipindahkan ke sekolah lain. — EdisiRakyat.com, 29 Mei 2017
إرسال تعليق