Cara elakkan pembaziran ketika berpuasa

TIDAK lama lagi bulan Ramadan akan tiba. Seringkali bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan untuk kita berjimat cermat, menjadi sebaliknya.

Apa sahaja kita lihat semua ingin dibeli lebih-lebih lagi apabila kita membeli tanpa menyediakan bajet.

Dalam keadaan lapar, nafsu berbelanja semakin membuak-buak menyebabkan aliran wang begitu deras tanpa kita sedari.

Pembaziran perlu di elakkan agar kita tidak mengalami masalah kewangan menjelang hari raya.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan untuk membantu anda agar tidak berbelanja secara berlebihan di bulan Ramadan seterusnya mengelakkan pembaziran.

1. Sediakan bajet

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah menyediakan bajet untuk digunakan sepanjang bulan puasa.

Peruntukkan nilai tertentu untuk perkara tertentu yang penting agar anda tahu aliran keluar wang anda.

Bajet yang dahulunya digunakan untuk sarapan makan tengahari dan makan malam boleh dikurangkan kerana sepanjang bulan puasa anda hanya makan dua kali iaitu semasa sahur dan berbuka.

Sumber gambar: halalmoney

2. Melakukan tinjauan harga

Sebelum bulan Ramadhan tiba, pastikan anda telah membuat perbandingan harga di beberapa tempat kerana pada bulan Ramadan banyak pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga jualan.

Dengan mengetahui harga barangan anda boleh mengelakkan dari berbelanja di tempat yang menawarkan harga yang melampau sehingga menyebabkan anda kerugian.

3. Makan di rumah

Seringkali apabila tiba bulan Ramadhan, banyak restoran dan kedai makan menyediakan Buffet Ramadhan dengan harga tertentu.

Ini membuatkan ramai orang tertarik untuk makan di luar kerana merasa mereka boleh makan sepuasnya dengan harga yang ditetapkan.

Malang apabila tiba buka puasa, kerap kali kita melepaskan rasa dahaga dengan meminum air yang banyak sehingga membuatkan perut kita rasa kenyang.

Ini membuatkan anda tidak mampu makan dengan kuantiti yang banyak dan apa yang anda makan kadangkala tidak berbaloi dengan harga yang anda bayar.

Seeloknya berbukalah di rumah dengan makanan yang sederhana sama ada makanan yang dibeli ataupun yang dimasak sendiri agar anda dapat mengulangi memakannya jika anda tidak habis menjamah ketika berbuka.

4. Menghadkan tunai yang dibawa

Ketika mencari makanan untuk berbuka, anda tidak digalakkan untuk membawa wang berlebihan kerana dikuatiri anda berbelanja melebihi keperluan kerana ketika anda lapar nafsu makan anda ketika itu membuak-buak.

Jika boleh, senaraikan barang yang ingin anda beli dan beli apa yang diperlukan sahaja.

Dengan cari ini anda dapat berjimat dari berbelanja secara boros.

5. Bertukar-tukar juadah

Terkenang kembali saat-saat sewaktu kecil dahulu apabila ibu meminta kita menghantar juadah ke rumah jiran.

Amalan bertukar-tukar juadah sesama jiran ini semakin terhakis dek kesibukan kita dengan tugas seharian yang tidak pernah habis.

Apa kata kita kembalikan nostalgia mengetuk pintu rumah jiran dan bertukar-tukar juadah.

Ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit malahan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan jiran tetangga.

6. Jangan mengikut nafsu

Makanlah kerana lapar dan bukan kerana nafsu. Tidak salah jika kita teringin menjamah sesuatu makanan tertentu tetapi usahlah keterlaluan dan jika terlalu teringin belilah dalam kuantiti sedikit.

Jangan membeli terlalu banyak juadah hingga akhirnya tidak dimakan dan terbazir begitu sahaja.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini, dapat membantu anda menyelamatkan wang anda daripada pembaziran di bulan yang mulia ini. Selamat berpuasa!— EdisiRakyat.com, 25 Mei 2017 

Post a Comment

Previous Post Next Post