100,000 kakitangan awam akan muflis berpunca dari kos sara hidup tinggi

DIANGGARKAN sejumlah 100,000 orang penjawat awam berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis kerana membuat pinjaman terlalu banyak untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda dilaporkan sebagai berkata, kakitangan awam daripada golongan rendah dan pertengahan mengambil langkah berhutang kerana menyangka ia mampu menyelesaikan masalah pembelanjaan mereka dalam keadaan inflasi yang semakin meningkat.


"Betapa silapnya mereka, anggaran kasar kami mendapati sehingga 100,000 kakitangan awam bakal diistiharkan bankrap tidak lama lagi, buat masa sekarang 3,000 daripada mereka sudah pun diistiharkan muflis,"

"Situasi ini akan menjadi bertambah buruk kerana lebih ramai lagi di kalangan mereka yang membuat pinjaman daripada lintah darat (Ah Long)," kata beliau kepada para wartawan ketika melancarkan seminar pekerja sempena Hari Buruh (1 Mei 2017) tempoh hari.

Menurut Azeh lagi, mereka ini mungkin akan kehilangan kerja ataupun digantung daripada tugas, mengundang kepada pelbagai lagi masalah lain seperti penceraian dan keruntuhan rumah tangga.

"Bayangkan jika separuh daripada 100,000 penjawat awam itu adalah terdiri daripada mereka yang sudah berkahwin dan memiliki anak-anak," katanya.

Menurut Azih, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya 20 institusi kewangan termasuk koperasi-koperasi yang dilantik untuk menyediakan pinjaman-pinjaman kepada kakitangan awam dengan bayaran balik melalui pemotongan gaji bulanan.

Beliau menegaskan, badan-badan ini tidak memeriksa latar belakang setiap pemohon pinjaman.

Sambil memberikan contoh, Azih mendakwa seorang kakitangan awam yang hanya layak untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000 boleh pergi ke empat buah bank untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM200,000.

"Malah ada sesetengah daripada mereka memberikan slip gaji palsu, supaya permohonan pinjaman yang dibuat dapat diluluskan, dari sini lah segala masaalah bermula," 

"Kerajaan perlu mengadakan satu sistem untuk memantau situasi yang membimbangkan ini," katanya.

Tegasnya lagi, kakitangan awam perlu mengikat perut di dalam keadaan ekonomi hari ini dan bukannya mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah.

"Perbuatan ini bagaikan menggali lubang untuk menutup lubang yang lain, dan akhirnya terdapat terlalu banyak lubang-lubang," — EdisiRakyat.com, 4 Mei 2017

Post a Comment

أحدث أقدم