Kemalangan hari ini dua orang rentung dalam kereta yang terbakar

SEORANG lelaki dan seorang wanita kedua-duanya mati rentung dalam sebuah kereta apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan berdekatan dengan kawasan perindustrian di Bakri Muar.


Seorang pegawai operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Noralfatah Omar dilapor memberitahu bahawa pihaknya menerima satu panggilan kecemasan sekitar jam 3.15 pagi. Pihak bomba menurutnya mengambil masa selama kira-kira dua jam untuk memadamkan api seterusnya dapat mengawal situasi kebakaran.

Katanya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 tahun dan seorang wanita berumur sekitar 30 tahun telah terbunuh di dalam insiden tersebut manakala seorang lagi wanita terselamat.

"Kereta tersebut telah musnah terbakar sepenuhnya, menyebabkan kami tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu," katanya yang turut menambah bahawa identiti mangsa sehingga kini masih tidak dapat dipastikan dan sedang dalam siasatan.

Dalam satu lagi kejadian kemalangan berasingan, seorang wanita pejalan kaki warga emas berusia 71 tahun dilaporkan terbunuh selepas sebuah kereta yang menghala ke Pekan Senggarang, merempuhnya di Kilometer 106.5 Jalan Johor Bahru - Melaka di Batu Pahat.

Minah Muslim yang dilaporkan berasal dari Kampung Parit Bakong, Batu Pahat sedang berjalan kaki sepanjang jalan raya ketika sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita berusia 20 tahun merempuhnya pada jam 9.05 malam hari Ahad.

Jurucakap pihak polis, ASP Abdul Wahib Musa dilapor memberitahu bahawa pemandu tersebut sedang dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Senggarang ketika kejadian itu berlaku.

"Mangsa dikatakan cuba untuk melintas jalan dalam masa yang sama pemandu kereta tersebut tidak dapat mengelak," katanya sambil mengesahkan bahawa Minah, mati serta merta di tempat kejadian. — EdisiRakyat.com, 11 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post