Minat belajar: Membina suasana yang menarik perhatian anak anda

ANAK yang bijak merupakan aset bagi ibu bapa. Bagi melahirkan anak yang bijak, ibu bapa perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah yang selesa agar anak teruja untuk belajar. Ia sekaligus akan merangsang minat belajar anak kesayangan anda dari awal usia lagi.



Berikut merupakan perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk merangsang minat anak anda belajar dan memudahkan mereka memberi tumpuan.


1. Menghadkan gangguan visual

Anda perlu menyediakan ruang belajar yang kemas dan teratur agar pemandangan anak anda tidak terganggu.

Apabila pandangan anak anda terganggu, ini menyebabkan otaknya menjadi berserabut.

Mengikut kajian, ruang yang kemas amat penting untuk merangsang minat anak untuk belajar kerana anak-anak yang berumur di bawah enam tahun Mudah dipengaruhi oleh rangsangan visual.

Sebagai contoh, jika anda meletakkan banyak barang di atas meja, anak anda akan cenderung untuk membelek segala yang ada kerana sifat ingin tahu dan menyukarkan tumpuan mereka untuk belajar.

Sebagai ibu bapa, anda wajar menetapkan satu-satu aktiviti untuk anak pada satu masa dan menyediakan perkakas yang hanya diperlukan untuk aktiviti Itu sahaja.

Contohnya, jika anda merancang untuk melakukan aktiviti melukis, pastikan hanya terdapat peralatan melukis seperti alat tulis dan kertas lukisan sahaja.

Ini dapat membantu anak untuk fokus kepada aktiviti yang ingin dijalankan sepenuhnya.



2. Menghadkan gangguan bunyi

Anak-anak kecil sangat peka dan mudah bertindak balas kepada bunyi-bunyian. Bunyi kenderaan, lagu, televisyen atau radio sangat mudah mengganggu tumpuan anak-anak.

Ini kerana, bunyi-bunyi ini yang mempunyai elemen bahasa mencuri tumpuan anak-anak untuk menghadam apa yang didengari dan mewujudkan perasaan ingin tahu.

Menurut istilah psikologi kognitif, ia dikenali sebagai fenomena 'pendakian perhatian'.

Anak-anak cuba memberi tumpuan pada dia pada satu masa iaitu sambil mendengar anda mengajar, mereka juga memberi perhatian pada bunyi persekitaran.

Tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk memastikan suasana pembelajaran bebas dari bunyian yang menarik perhatian anak.



3. Tunjukkan cara yang positif

Untuk merangsang fokus anak, pentingnya kita sebagai ibu bapa menunjukkan sikap kita yang juga mampu fokus pada sesuatu kerana kita adalah contoh yang terdekat untuk anak-anak.

Ketika mengajar anak atau melakukan aktiviti bersama anak, elakkan melakukan perkara lain. Pastikan anda telah siap memasak dan mengemas serta pastikan anda tidak menggunakan telefon bimbit ketika sedang bersama anak anda.

Jika anda terganggu, anak anda juga akan mudah berasa terganggu kerana kita asyik beralih tumpuan ketika bersama anak.

Ini membuatkan anak berasa tidak penting untuk fokus ketika melakukan sesuatu perkara kerana anda menunjukkan contoh yang begitu kepada anak anda.

Mengikut istilah psikologi anak-kanak yang berusia satu hingga tiga tahun yang mudah meniru apa yang kita lakukan digelar fenomena ' rujukan sosial'.

Kanak-kanak masih belum cukup matang untuk tahu bertindak untuk membuat perkara yang baik dan akan mencari tempat rujukan iaitu ibu bapa.

Oleh itu, tunjukkanlah teladan yang baik supaya mereka juga berusaha menjadi yang terbaik.



4. Menghadkan masa menonton tv

Menurut pakar psikologi dan pengamal perubatan, kanak-kanak yang cenderung didedahkan pada televisyen dan gajet sejak kecil, amat sukar untuk memberikan tumpuan dalam pembelajaran.

Ini disebabkan oleh gangguan pada perkembangan otak yang menyebabkan pembentukan pasif dalam tumpuan dan pembelajaran.

Ini menyebabkan anak menjadi lesu dalam proses pembelajaran dan tidak menujukkan minat untuk belajar.

Menurut nasihat pakar, kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau gajet, manakala bagi yang berumur dua ke tiga tahun, diperuntukkan masa 90 minit dan bagi yang berumur 4-6 hanya boleh dibenarkan menonton tidak lebih dua jam.



5. Meletakkan bahan pembelajaran mereka ditempat yang sesuai dan mudah dicapai

Untuk menghasilkan anak yang bijak dan suka belajar, kanak-kanak itu sendiri perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk belajar.

Secara lahiriah, anak-anak memang akan punyai keinginan untuk belajar. Ibu bapa boleh merangsangkan kemahuan anak dengan meletakkan peralatan pembelajaran mereka pada tempat yang sesuai yang mudah dicapai.

Aturlah ruang yang selesa untuk mereka belajar di mana buku, alat tulis, kad imbas, serta permainan yang membina minda disediakan di satu sudut.

Dengan cara ini, anak boleh belajar pada bila-bila masa yang mereka mahu tanpa perlu menunggu pengawasan dari anda.

Hasil kajian menunjukkan, cara ini efektif pada kanak-kanak berumur dua tahun ke atas di mana apabila kanak-kanak berusia dua tahun di ajar menggunakan kad imbas, mereka akan cenderung mengulang meneliti kad imbas atas keinginan sendiri.

Pembelajaran aras bawah kerelaan anak sendiri merupakan satu corak pembelajaran yang paling efektif untuk merangsang sel-sel otak anak anda.



6. Jauhkan anak dari keadaan yang sangat selesa

Sebagai ibu bapa pasti anda selalu ingin memberikan yang terbaik untuk anak anda.

Tetapi, menyediakan satu ruang belajar yang terlalu selesa untuk anak anda bukanlah idea yang baik.

Pastikan anda tidak menyediakan ruang belajar berdekatan katil atau menyediakan kerusi sofa yang empuk untuk anak anda duduk ketika belajar.

Ini kerana, keadaan yang terlalu selesa ini akan membuat anak anda cepat merasa letih dan mengantuk lebih-lebih lagi apabila melihat katil di hadapan mata.



Semoga dengan tips-tips yang dikongsikan dapat membantu anda merangsang minat anak anda belajar seterusnya dapat menghasilkan anak yang bijak. — EdisiRakyat.com, 4 Mac 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post