Tips memilih sabun muka yang tepat mengikut jenis kulit

KESILAPAN memilih sabun muka yang tepat berdasarkan jenis kulit sama ada berminyak, kering, sensitif, normal, atau berkombinasi boleh menimbulkan kesan sampingan terhadap kulit muka anda.

Kesilapan seperti ini bukan sahaja akan memberikan rasa tidak selesa kepada kulit muka, malah berpotensi untuk menjejaskan kesihatan dan kecantikan kulit muka anda.

Justeru pengetahuan tentang pemilihan sabun muka yang tepat mengikut jenis kulit adalah sangat penting. Ikuti perkongsian tips untuk memilih sabun yang tepat dan sesuai agar kulit muka anda berada dalam kondisi yang terbaik.

1. KULIT MUKA BERMINYAK



Kulit berminyak menghasilkan banyak sebum atau minyak semulajadi yang dihasilkan oleh kelenjar-kelenjar minyak di bawah kulit, justeru ia sangat perlu dibersihkan secara teratur.

Sekiranya anda memiliki kulit muka jenis yang berminyak, sebaiknya hindari daripada memilih sabun mengandungi glycolic acid sebaliknya pilihlah yang mengandungi lebih banyak bahan semulajadi seperti, oatmeal, sea salt dan tea tree oil kerana ia bersifat lembut pada kulit anda.

Pilihlah sabun buku atau gunakan sabun yang bersifat pengelupasan (eksfoliasi) ini bertujuan untuk menyeimbangkan pengeluaran minyak berlebihan pada kulit anda.

2. KULIT KERING

Berbeza dengan kulit berminyak, kulit jenis kering kebiasaannya tidak merembeskan sebum yang secukupya, inilah punca mengapa kulit seperti ini kelihatan kering dan kusam.

Sekiranya anda memiliki kulit jenis ini, anda perlu lebih berhati-hati di dalam memilih sabun kerana kulit kering lebih berisiko untuk rosak berbanding dengan kulit jenis yang berminyak.

Pilihlah sabun yang memiliki kandungan gliserin mudah larut ketika dicampurkan dengan air. Salah satu keunikan sabun yang memiliki kandungan jenis ini ialah, ia juga dapat menyerap kandungan air di udara sehingga sangat serasi untuk kulit kering agar tetap terpelihara kelembapannya.

Anda juga boleh memilih sabun yang memiliki kandungan aloe vera, minyak zaitun, jojoba, mentega koko, extract avocado dan vitamin E untuk meningkatkan tahap kelembapan kulit anda.

3. KULIT SENSITIF

Bagi anda yang memiliki kulit jenis sensitif, tidak boleh tidak sabun yang sesuai untuk kulit anda haruslah bebas daripada pewangi dan pewarna. Ini kerana komposisi sabun jenis ini dibuat dengan aras pH yang lebih seimbang sekali gus menjadikannya sesuai untuk kulit jenis sensitif.

Anda yang memiliki kulit jenis ini sebaiknya hindari penggunaan sabun yang bersifat pembunuh kuman atau antiseptik. Ini kerana, selain bersifat mengeringkan kulit, ia tidak sesuai untuk anda yang mempunyai masalah ekzema.

Anda juga disarankan untuk memilih sabun jenis cecair yang mengandungi bahan pelembap. Hindari sabun jenis yang berbentuk padat, ini kerana, bahan pemadat sabun biasanya bersifat alkali berbanding kulit yang bersifat asid.

4. KULIT NORMAL DAN KOMBINASI



Sekiranya anda mempunyai kulit jenis normal yang bebas daripada masalah kulit anda seharusnya rasa bersyukur dan beruntung.

Berbanding mereka yang memiliki kulit jenis kombinasi, di mana pemilik kulit jenis ini mempunyai bahagian kulit tertentu yang cenderung berminyak contohnya seperti dahi dan hidung, manakala bahagian lain pula cenderung kering.

Bagi pemilik kedua-dua jenis kulit seperti ini iaitu kulit normal dan kombinasi, anda sesuai untuk memilih sabun untuk kulit yang normal.

Namun anda harus menghindari sabun yang diformulasikan khusus untuk kulit kering atau kulit berminyak kerana ia akan menyebabkan kulit wajah anda lebih berkilat kerana kehadiran formulasi minyak. — EdisiRakyat.com, 4 Februari 2017
Previous Post Next Post