Nilai ringgit lemah punca rangkaian Pasaraya Mydin alami kerugian

NILAI ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat dilapor menjadi faktor utama kerugian yang dialami oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd menerusi rangkaian pasaraya Mydin seluruh negara bagi tahun 2016.



Pengarah urusan pasaraya itu, Datuk Wira Ameer Ali Mydin dilaporkan berkata, pengusaha pasaraya Mydin di seluruh negara telah mengalami kerugian disebabkan oleh kelemahan ringgit oleh kerana banyak produk-produk yang dijualnya merupakan barangan import daripada luar negara.

"Nilai ringgit berbanding dolar Amerika, adalah di paras 3.65 pada 1 April 2015, berbanding nilainya kini 4.42 bagi setiap dolar Amerika. Inilah kadar penyusutan ringgit sepanjang tempoh itu," katanya.

Dakwanya lagi, penyusutan nilai ringgit terhadap Dolar Amerika telah menyebabkan Mydin terpaksa membayar lebih untuk produk-produk yang dipesan tanpa meningkatkan harganya yang dijual kepada para pengguna.

Menurut Ameer, Akta Anti Pencatutan membuatkan Mydin sukar untuk meningkatkan harga produk-produk yang dijualnya kerana proses tersebut begitu rumit, memerlukan mana-mana peniaga untuk menyatakan butiran-butiran serta alasan terperinci mengapa mereka perlu untuk meningkatkan harga bagi setiap satu produk yang dijual.

Oleh itu sangat sukar untuk menyalurkan peningkatan kos kepada para pengguna, kerana penyusutan nilai ringgit itu sendiri sudah mengurangkan kuasa beli sekaligus menjejaskan perniagaan kumpulan pasaraya Mydin — EdisiRakyat.com, 7 Februari 2017

Post a Comment

أحدث أقدم