SEORANG wanita dilaporkan menghubungi pihak polis untuk mengadu tentang harga ganja yang meningkat terlalu tinggi dikenakan oleh pengedar dadah.
Wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu telah menghubungi pegawai polis bertanya sekiranya pihak polis boleh menyiasat bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu.
Wanita itu mendakwa diminta untuk membayar lebih daripada biasa untuk bekalan ganja yang dibelinya daripada pengedar dadah yang ditemuinya.
Kejadian itu difahamkan berlaku di salah sebuah Balai Polis di Wilayah Utara Australia, di mana ganja merupakan bahan yang diharamkan di negara itu.
Wanita tersebut bagaimanapun segera meletakkan telefon selepas pegawai polis yang menjawab panggilannya bertanya tentang butiran peribadi dirinya.
Kisah itu dikirim di halaman facebook rasmi Northern Territory Police, Fire and Emergency Services — Sebuah halaman facebook yang dikendalikan oleh pihak berkuasa wilayah Utara Australia.
" Jika anda tahu mana-mana pengedar dadah yang buat masalah kepada anda, hubungi kami, kami suka untuk membantu," tulis halaman itu.
Kiriman tersebut menerima ribuan komen balas daripada orang ramai yang menganggap panggilan telefon itu sebagai sangat lucu namun segelintir mereka menganggap pemanggil wanita itu memiliki asas dan berhak untuk membuat panggilan.
"Harga ganja terlalu tinggi, halalkannya dan kenakan cukai," tulis salah seorang yang memberi komen pada kiriman tersebut. — EdisiRakyat.com, 2 Febuari 2017