Anak lambat bercakap, punca dan penyelesaiannya

TERDAPAT pelbagai penyebab anak anda lambat bercakap. Anda sebagai ibu bapa jangan mudah melatah sebaliknya kenal pasti punca dan cari jalan penyelesaiannya agar anak anda dapat menjalani hari-hari mereka dengan lebih sempurna.



Antara punca-punca anak anda lambat bercakap, antaranya:

1. Masalah lidah

Lidah pendek atau disebut 'Frenulum ' menjadi penyebab pergerakan lidah terbatas untuk bertutur.

2. Masalah motor-oral

Masalah motor-oral melibatkan keadaan di mana kawasan otak yang bertugas untuk melancarkan percakapan tidak berfungsi dengan baik.

Ini membuatkan mereka sukar mengawal bibir, rahang dan lidah untuk menghasilkan bunyi untuk bercakap.

Kadang- kadang masalah motor-oral ini juga menggangu proses penyusuan anak anda ketika masih bayi.

3. Masalah pendengaran

Masalah pertuturan juga berkait rapat dengan masalah pendengaran.



Pentingnya anda memerhatikan sama ada anak anda mempunyai pendengaran yang baik atau tidak.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran mungkin mempunyai masalah untuk menerangkan sesuatu perkara, memahami kata- kata anda , meniru dan menggunakan bahasa.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat pakar audiologi untuk menguji tahap pendengaran anak anda.

Penyelesaian:

1. Dapatkan rawatan

Anda boleh mendapatkan khidmat pakar patologi pertuturan yang mempunyai kepakaran dalam menilai masalah pertuturan anak anda dan memberi jalan penyelesaian.



Pakar patologi pertuturan biasanya akan memerhatikan beberapa aspek iaitu:

Sejauh mana anak anda memahami apa yang disampaikan (Receptive Language).

Perkataan apa yang boleh diucapkan oleh anak anda (Expressive Language)

Membuat pemerhatian pada bahasa tubuh anak anda sama ada anak anda cuba menyampaikan sesuatu dengan cara lain seperti menunjuk, mengangguk dan isyarat-isyarat lain.

Penghasilan bunyi dan kejelasan pertuturan anak.

Status motor-oral, struktur mulut, lidah, lelangit dan sebagainya berfungsi seiring waktu bercakap, makan dan menelan.

Sekiranya terbukti anak anda memerlukan terapi, anda perlu melibatkan diri secara langsung dalam terapi itu dengan memerhatikan bagaimana sesi itu di lakukan dan belajar teknik agar anda boleh mengaplikasikan cara itu di rumah untuk membantu perkembangan anak anda.


2. Mainkan peranan anda di rumah dengan cara:

Melakukan aktiviti bersama

Anda boleh merangsang anak anda dengan mengajak anak anda berkomunikasi, bermain permainan yang memerlukan anak anda bercerita, menyanyi dan meniru gaya anda.

Membaca

Anda boleh membacakan anak anda buku cerita seawal usia enam bulan.

Cuba tarik perhatian anak anda untuk untuk sama-sama melihat gambar yang terdapat pada buku.

Komunikasi

Seboleh-bolehnya, terangkan kepada anak setiap objek di sekeliling untuk mengajar anak bertutur dengan betul.

Anda boleh sentiasa berbual dengan anak anda sepanjang hari dan menerangkan setiap apa yang anda lakukan sehari-harian agar dapat mengukuhkan ucapan serta bahasa pertuturan anak anda.

Jika boleh wujudkan komunikasi dua hala dengan bertanya soalan kepada anak agar anak anda menjadi lebih fasih dan teruja untuk berbicara.

Anda tidak perlu berasa terlalu risau jika anak anda lambat bercakap sebaliknya bertindakbalas dengan positif untuk memberi ransangan kepada anak anda. Semoga dengan sedikit panduan di atas dapat membantu anda yang menghadapi masalah begini. — EdisiRakyat.com, 6 Februari 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post