Terima padah usik harimau, pengunjung zoo mati dibaham

ORANG ramai gempar menyaksikan rakaman video kejadian ngeri seorang pengunjung mati dibaham harimau di sebuah zoo selepas dia dikatakan mengusik haiwan buas tersebut. Sumber berita tempatan melaporkan kejadian di sebuah zoo yang terletak di Timur Negara China itu berlaku pada petang hari Ahad.




Mangsa seorang pemuda dilaporkan telah diserang oleh harimau itu sebelum diheret ke bawah sebuah pokok di Ningbo Youngor Zoo yang terletak di daerah Zhenjiang.

Pasukan penyelamat mengambil masa lebih dari sejam cuba untuk menyelamatkannya, sebelum mangsa dikatakan meninggal dunia di hospital.

Para pelawat di zoo dilaporkan mula berteriak sekitar jam 2:30 pm waktu tempatan apabila menyedari salah seorang pelancong dibaham dan diheret oleh harimau terbabit selepas pemuda itu dikatakan telah mengusik haiwan tersebut sebelum itu, lapor portal zjol.com.cn.

Zoo ditutup pada jam 3:00 pm sementara pihak polis dan kakitangan biro jabatan perhutanan tiba di zoo terbabit pada 3:15 pm.

Tiada butiran lanjut bagaimana mangsa yang tidak dinamakan itu boleh masuk ke dalam kandang harimau.

Kakitangan zoo sebelum itu telah cuba untuk menghalau harimau dengan menggunakan mercun, namun tidak berjaya menakutkannya.

"Saya nampak harimau itu sedang membaham mangsa, wajahnya berlumuran darah, setiap kali dia cuba bangun harimau itu menekannya ke bawah semula." kata salah seorang saksi yang dilapor menceritakan kejadian ngeri tersebut.

Mangsa telah dikerjakan ke hospital pada jam 3:45 pm namun disahkan mati kemudian.

Ini bukanlah kali pertama pelancong ataupun kakitangan zoo diserang oleh harimau di negara China.

Pada bulan Julai tahun lalu seorang wanita berumur 57 tahun telah dibaham sehingga mati selepas cuba untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada serangan harimau di Taman Hidupan Liar yang terletak di Beijing.

Anak wanita terbabit yang berusia lingkungan 30 tahun terselamat dengan beberapa kecederaan serius di bahu dan muka.

Kejadian tersebut telah menjadi perbualan hangat di kalangan pengguna internet. Segelintir netizen menuduh anak perempuan mangsa kerana dialah yang mula-mula sekali keluar daripada kereta di kawasan larangan zoo sekaligus menyebabkan kematian ibu yang cuba menyelamatkan nyawanya.

Segelintir netizen pula mempersoalkan tentang langkah-langkah keselamatan yang diamalkan oleh zoo berkenaan bagi menjamin keselamatan pengunjung zoo terbabit. — EdisiRakyat.com, 30 Januari 2017
Previous Post Next Post