Pesakit leukaemia capai hasrat meninggal di Madinah

SEORANG pesakit leukaemia tahap akhir, Muhammad Ramadhan Alias yang mempunyai hasrat terakhir untuk melaksanakan ibadah Umrah dilaporkan meninggal dunia di Madinah, Arab Saudi.

Kali terakhir ahli keluarga menyaksikan Allahyarham ialah ketika lelaki berusia 20 tahun itu dihantar ke lapangan terbang Sultan Mahmud pada hari Selasa untuk berlepas bersama-sama ibunya Saibah Yaacob untuk melaksanakan Umrah.


Keluarga diberitahu oleh doktor bahawa allahyarham hanya mempunyai tempoh hidup sehingga April. Namun Muhammad Ramadhan telah meninggal lebih awal daripada ramalan doktor iaitu pada hari Sabtu jam 11:30 waktu Malaysia di Hospital Al-Ansar, Madinah. Jenazahnya selamat dikebumikan di Masjid Nabawi di Madinah.

Kakaknya Maryam Fatimah Alias ketika dihubungi berkata keluarga diselubungi kesedihan dengan berita kematian itu.

"Tapi dalam masa yang sama kami gembira kerana dua sebab, pertama kerana hasratnya telah tertunai, dan satu lagi kami percaya hanya orang yang bertuah dapat meninggal di tanah suci dan dia seorang yang bertuah dan terpilih," katanya.

Ayah kepada Muhammad Ramadhan turut berkongsi perasaan yang sama tentang kematian anaknya di Madinah, beliau turut menyifatkan anaknya itu sebagai anak yang bertuah.

Tambahnya lagi, beliau akan turut mengerjakan Umrah dan sebagai seorang ayah, beliau akan meneruskan Umrah untuk anaknya itu.

"Saya akan bertolak hari Jumaat ini dan akan berada di Mekah dalam 6 atau 7 hari, kemudian saya akan melawat pusara anak,

"Saya ada bercakap dengan ibunya sekitar jam 4 petang, dan minta dia jaga diri baik-baik,

"Dia akan sambung ibadah Umrah, manakala saya akan pergi dan tunaikan Umrah untuk Muhammad Ramadhan," katanya sambil menambah bahawa isterinya Saibah, telah redha dengan pemergian Muhammad Ramadhan. — EdisiRakyat.com, 22 Januari 2017
Previous Post Next Post