Beli rumah percuma isteri

SEORANG wanita yang dikenali sebagai Wina Lia, 40 yang merupakan janda beranak dua dan juga pemilik salon menjadi terkenal dengan sekelip mata apabila iklan mengenai rumah yang ingin dijual olehnya menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

Iklan yang menawarkan sebuah rumah di Sleman, Pulau Jawa Indonesia dengan harga 999 juta rupiah iaitu bersamaan RM320 000.menawarkan pakej istimewa di mana pembeli rumah boleh menjadikan penjual rumah sebagai isteri.

Dalam iklan itu menyebut bahawa syarat untuk tawaran itu adalah pembeli mestilah yang serius ingin membeli dan tidak boleh berunding.



Iklan itu yang kini tersebar meluas menyebabkan pihak polis datang kerumah Wina untuk bertanyakan tentang iklan itu yang dianggap tidak sesuai ditawarkan kepada orang ramai. Wina juga merasa terkejut dan teruja kerana iklan mengenainya mendapat sambutan meluas sehingga ada juga wartawan yang datang menemubualnya.

Menurut Wina, dia terpaksa menjelaskan bahawa iklan itu bukan dikeluarkan olehnya memandangkan dia telah mengupah sahabatnya yang merupakan ejen hartanah untuk mengiklankan jualan rumahnya. Dia juga mengutarakan kepada kawannya bahawa dia ingin mencari calon suami dan berharap kawannya dapat membantu secara peribadi untuk mencari calon suami, bukan menyebarkannya di internet.

Dia menyatakan mungkin terdapat salah faham apabila dia menyatakan kepada kawannya jika terdapat pembeli yang merupakan seorang bujang atau duda yang sedang mencari calon isteri, kawannya boleh memberitahu kepadanya sebaliknya kawannya meletakkan persoalan calon suami dalam iklan jualan rumahnya.

Seorang pengguna laman sosial yang menggunakan gelaran Boldies99 memberikan komen di forum popular Kaskus dimana iklan Wina tersebar mengatakan bahawa iklan itu menunjukkan bahawa Wina adalah seorang wanita bijak kerana walaupun dia menjual rumah itu, dia tetap dapat memiliki rumah itu dengan cara menjadi isteri kepada pemilik baru disamping memperolehi wang yang banyak.

Wina menyatakan bahawa buat masa ini terdapat seorang pembeli yang berpotensi datang melihat rumah, tetapi enggan mendedahkan butiran mengenai hasil perbincangan jual beli tersebut. — EdisiRakyat.com, 4 November 2016
Previous Post Next Post