Datuk Vida didakwa di mahkamah kerana gagal bayar GST RM4.2 juta

USAHAWAN terkenal Datuk Seri Hasniza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Vida dilaporkan didakwa di mahkamah kerana 16 kali gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan, GST berjumlah RM4.2 juta.

Dia juga didakwa dengan pertuduhan sebanyak 16 lagi pertuduhan kerana gagal menghantar penyata GST kepada Jabatan Kastam.

Pemilik Vida Beauty Sdn Bhd berusia 45 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di depan Hakim Murtazadi Amran.

Berpakaian jubah hitam dan tudung berwarna merah, Datuk Vida tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9 pagi hari Khamis dengan Toyota Vellfire dikerumuni wartawan dan jurugambar yang berkumpul lebih awal.




Datuk Vida dituduh gagal membuat pembayaran dan menghantar penyata GST di antara 1 April 2015 dan 31 Julai 2016.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan di Jabatan GST, Wisma Kastam, No 1, Jalan Tun Abdul Razak.

Pertuduhan di bawah Seksyen 41(7) dan Seksyen 41(6) Akta GST 2014 meperuntukan denda maksimum RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan terhadap setiap kesalahan yang dilakukan.

Timbalan pendakwaraya Jabatan Kastam Farah Ezlin Yusop Khan meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 untuk setiap satu daripada kesemua 32 pertuduhan dan meminta passport antarabangsa miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Vida, Khairil Azwar pula meminta mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dan merayu passport milik anak guamnya tidak dirampas kerana dia kerap keluar negara atas urusan peeniagaan.

Bagi pertuduhan gagal membayar GST, hakim menetapkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan manakala tuduhan gagal menghantar penyata, wang jaminan ditetapkan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Ini membawa kepada sejumlah RM1.76 juta wang jaminan perlu dibayar secara tunai oleh Datu Vida bagi mengelakan dia ditahan reman sepanjang perbicaraan.

Hakim turut memerintahkan Datuk Vida untuk menyerahkan passport miliknya. Sebutan kes ditetapkan pada 15 November 2016. — EdisiRakyat.com, 13 Oktober 2016
Previous Post Next Post