Setiap ahli baru BERSATU diminta bersumpah pegang Al-Quran

SEBAGAI menunjukkan ketegasan di dalam mencegah rasuah dan salah guna kuasa, setiap ahli baru yang mahu mendaftar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU diminta untuk bersumpah pegang Al-Quran.
.
Perkara itu diumumkan melalui halaman Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia semalam. Ucapan Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dipetik oleh laman itu seperti berikut,

"Dalam perlembagaan BERSATU sesiapa yang ingin mendaftar sebagai ahli parti akan diminta BERSUMPAH (Pegang Al-Quran) supaya sentiasa jujur dan amanah di dalam menjalankan tanggung jawab Parti dan Kerajaan".


Dalam satu posting sebelumnya, halaman itu turut memetik ucapan Mukhriz yang menyampaikan cadangan ayahnya, agar semua pemimpin yang bakal menerajui BERSATU di semua peringkat mestilah bersumpah dengan Al Quran bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah, salah guna kuasa dan hendaklah berjuang hanya untuk agama, bangsa dan tanah air.

Parti BERSATU baru sahaja mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan, ROS beberapa hari lalu. 

Parti serpihan United Malay National Organization, Umno itu diusahakan oleh bekas para pemimpin kanan Umno termasuk mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir yang lantang mengkritik Perdana Menteri pada masa ini, Dato Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB dan isu dana RM2.6 billion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Tun Mahathir sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, bekas parti Umno yang diterajuinya kini sudah tidak lagi memperjuangkan rakyat, sebaliknya hanya memperjuangkan kedudukan Najib Razak yang kini sedang hangat dilaporkan seluruh dunia terkait dengan skandal 1MDB.

Parti BERSATU dilaporkan akan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN untuk menyatukan semua parti-parti pembangkang di Malaysia bagi mengalahkan Barisan Nasional, BN dalam pilihanraya umum yang akan datang. — EdisiRakyat.com, 12 September 2016.
Previous Post Next Post