Restoran berkonsepkan pesawat pertama di dunia, dibuka di China

SEBUAH restoran berkonsepkan pesawat yang baru dibuka di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada hari Jumaat lalu mendapat sambutan hangat orang ramai.

Menggunakan sebuah pesawat Boeing 737 yang sudah tidak digunakan lagi, Lily Airlines memberikan suasana menjamu selera seperti sedang menjalani penerbangan di atas awan.

Para 'penumpang' perlu mendapatkan sekeping bil yang dicetak pada sekeping replika tiket kapal terbang sebelum dibenarkan melalui sebuah lorong untuk masuk ke dalam kabin. 

Semua pelayan lelaki dan wanita memakai pakaian seragam seperti pramugara dan pramugari pesawat penerbangan biasa.




Pemilik restoran tersebut, Li Lang dilaporkan berkata, mereka menghadkan hanya 150 pelanggan sehari, "Kami tak mampu menyediakan lebih 200 hidangan dalam sehari" katanya.

Restoran tersebut boleh memuatkan 78 orang dalam satu-satu masa dengan 19 meja disediakan. Hanya mereka yang mempunyai kad keahlian VIP boleh membuat panggilan untuk tempahan, pelanggan lain pula terpaksa menunggu di 'dewan perlepasan' jika tiada meja yang kosong.




Dengan empat orang chief asing, restoran tersebut menawarkan lima variasi set hidangan termasuk Amerika, Jerman dan Perancis, bergantung kepada 'laluan penerbangan' yang berubah-ubah. Harga makanan di antara 158 yuan (RM97) hingga 398 yuan (RM246).

Menurut Li, dia mendapat ilham menghasilkan restoran dengan konsep tersebut selepas melihat sebuah hotel berkonsep pesawat empat tahun lalu di Sweden.

Selepas gagal mendapatkan pesawat yang sesuai untuk digunakan di China, Li akhirnya membeli sebuah pesawat lama dari Indonesia dengan harga 35 juta yuan (RM21.7 juta). — EdisiRakyat.com, 15 September 2016.
أحدث أقدم