PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte dilaporkan memanggil Presiden Amerika Syarikat sebagai 'anak pelacur' semalam sambil berjanji dirinya tidak akan 'disekolahkan' oleh Obama dalam pertemuan mereka esok (hari ini) dalam sebuah forum di Laos.
Presiden 'bermulut laser' itu pada mulanya diberi amaran tentang kemungkinan akan dipersoal oleh Obama tentang perang terhadap najis dadah diterajuinya di Filipina yang telah mengorbankan seramai 2,400 nyawa dalam jangka masa hanya dua bulan.
"Kau mesti tunjuk sikap hormat, jangan lontar kenyataan dan soalan sesuka hati, anak pelacur! Aku akan maki kau dalam forum itu nanti," tegas Duterte dalam satu sidang media seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan.
"Kau dan aku akan bergelut dalam lumpur macam babi kalau kau buat begitu," tambahnya lagi.
Duterte dijadual akan bertemu Obama esok (hari ini) dalam satu pertemuan dua hala.
Bagaimanapun, selepas ucapan Duterte, Obama melahirkan rasa curiga sama ada pertemuan tersebut patut diteruskan.
Sambil menggelarkan Duterte sebagai 'lelaki warna-warni', Obama dilaporkan telah mengarahkan staffnya untuk menilai sama ada pertemuan itu penting untuk diteruskan.
"Saya sentiasa mahu memastikan bahawa saya melalui pertemuan yang produktif dan kami dapat selesaikan sesuatu," katanya lagi — EdisiRakyat.com, 6 September 2016