JIKA anda berada di ibu kota London pada 3 May 1715, beberapa minit hari anda pada tarikh itu akan diselubungi kegelapan kerana bulan sedang melintasi ruang antara bumi dan matahari, menyebabkan berlakunya gerhana matahari.
Pada saat itu, matahari kelihatan seperti cincin kerana permukaan tengahnya terlindung oleh kehadiran bulan. Namun satu fenomena luar biasa turut berlaku secara tiba-tiba, di mana berlaku kehadiran angin yang ganjil — suasana tiba-tiba bertukar 'sejuk dan lembab' serta menimbulkan suasana ngeri kepada pemerhati.
Selama tiga abad (300 tahun) para penyelidik tidak dapat menjelaskan apakah punca ataupun sebab berlakunya perubahan angin secara dramatik pada hari itu.
Tiga ratus tahun kemudian, perkara itu berlaku lagi.
Ketika berlakunya separa gerhana matahari di UK baru-baru ini, para pemerhati turut merasai suasana 'sejuk dan lembab' secara tiba-tiba seperti 300 tahun dahulu.
Namun kali ini, pemerhatian fenomena ini sudah ditunggu lebih awal oleh National Eclipse Weather Experiment, di mana 4,500 penyelidik dan sekumpulan ahli-ahli Meteorologi dari Universiti Reading sudah bersiap sedia untuk mengambil bacaan-bacaan dan pemerhatian tertentu yang mungkin boleh membantu menjelaskan fenomena tersebut.
Berdasarkan pemerhatian mereka secara kolektif, para penyelidik menyedari bahawa, bukan sahaja seorang dua merasai perubahan angin — ramai pemerhati mengalami perubahan angin yang secara tiba-tiba menjadi sejuk, diikuti tiupan angin yang melemah.
Kajian lanjut dijalankan dengan menggabungkan data-data pemerhatian yang diambil daripada permukaan stesen cuaca dan juga jaringan laluan-laluan pengesan cuaca.
Hasil penelitian tersebut mendapati, variasi lapisan-lapisan udara tahap-tahap ketinggian berbeza memisahkan lapisan-lapisan agin di bahagian atas, dan ia dikenali sebagai tahap pemisah.
"Di saat matahari menghilang di belakang bulan, permukaan tanah secara tiba-tiba menjadi sejuk seperti fenomena matahari terbenam." Kata ahli fizik Giles Harrison, dalam satu kenyataan medianya.
"Ini bermakna udara panas berhenti mengalir dari bahagian yang hampir dengan permukaan tanah, menyebabkan pengurangan kelajuan udara secara mendadak di samping berlaku juga perubahan arah tiupannya"
Dua laporan berbeza terhadap fenomena tersebut disiarkan di dalam jurnal berjudul Philosophical Transactions. Dapatan kajian itu turut disokong oleh satu lagi kajian daripada Universiti Sheffield yang melaporkan bahawa penurunan suhu semasa kejadian gerhana matahari berlaku selama 40 minit, manakala kelajuan angin menjadi perlahan sekitar 9%.
Bagaimana pun, kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.
Fenomena gerhana penuh diramal akan berlaku lagi pada 2017 ini di Amerika Syarikat, ia dilihat peluang terbaik kepada para penyelidik untuk menguji kesahihan dapatan terdahulu.
"Terdapat banyak teori-teori tentang fenomena angin gerhana sejak bertahun-tahun lamanya, tapi kami fikir inilah yang paling diterima setakat ini," kata Harrison lagi. — EdisiRakyat.com, 1 September 2016
Post a Comment