SEBUAH program televisyen berbentuk siasatan mirip 999 di Indonesia mendedahkan secara terperinci bagaimana ratusan pendatang asing tanpa izin, PATI mendarat di Tawau Sabah setiap hari.
Apa yang menghairankan dakwa rancangan itu, lokasi pendaratan ratusan PATI tersebut setiap hari berada tepat bersebelahan dengan pelabuhan sah di Tawau Sabah.
Wartawan rancangan terbitan TransMedia Indonesia itu menyamar sebagai Tenaga Kerja Indonesia, TKI bagi menyelongkar bagaimana perjalanan pendatang asing dari Indonesia masuk ke Malaysia secara haram.
Salah seorang PATI yang ditemubual mendakwa begitu mudah untuk masuk ke Malaysia secara haram dengan memberikan rasuah sekitar RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa yang bertugas.
"Kalau di laut ada Polis yang tinggal sumbat (suap) saja dengan uang, tidak ada masaalah. Jadi boleh jalan, paling tinggi RM50 hingga RM100," dakwanya.
Rancangan tersebut turut menunjukkan bagaimana wartawan yang menyamar sebagai TKI di dalam sebuah bot kecil bersama para penumpang lain perlu menundukkan kepala jika terserempak dengan pihak berkuasa Malaysia.
Suara latar dalam rancangan tersebut turut yakin bahawa telah ada wang 'suap' (rasuah) disediakan untuk pihak berkuasa yang bertugas — ini barangkali menjelaskan mengapa salah sebuah bot peronda yang tertera tulisan 'Polis' dalam rancangan itu langsung tidak bertindak ketika terserempak dengan mereka.
"Kalau enggak punya passport nantinya ditangkap bisa masuk lagi. Gampanglah masuknya ke sana," itu kata-kata salah seorang buruh yang turut ditemubual menggambarkan betapa mudahnya untuk menceroboh masuk ke Malaysia secara haram dalam rancangan itu.
Berikut rakaman rancangan tersebut.