Malaysia terlepas pingat kerana pelari Poland rebahkan badan di garisan penamat

TANPA disangka-sangka taktik merebahkan badan di garisan penamat oleh pelari Poland, Barbara Niewiedzial nyata berhasil memberikannya tempat ketiga kepadanya dalam acara Final 400m Wanita di Temasya sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

Ia sekaligus meranapkan peluang Atlet negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara itu.

Sebelum berakhirnya acara itu, Siti Noor Iasah bagaikan sudah pasti untuk meraih pingat gangsa sebelum pelari dari Poland yang juga merupakan pemegang rekod dunia bagi acara itu tiba-tiba merebahkan diri di garisan penamat.


Ketua Jurulatih olahraga, R Jaganathan dilaporkan telah mengemukakan bantahan namun ditolak oleh juri pertandingan.

Keputusan acara itu bagi tempat ketiga dan keempat terpaksa ditentukan melalui "photo finish" sekaligus membolehkan juri menganugerahkan pingat gangsa kepada Niewiedzial.

Pelari negara berusia 27 tahun itu dipetik daripada kiriman whatsapp sebagai berkata,

"Saya sudah berjaya memotong dia tapi saya tak tahu strategi dia, dia sudah berada di belakang saya. Mungkin setiap orang banyak taktiknya, masing-masing boleh buat."

"Bagi saya, saya bangga dengan diri saya kemenangan itu biarlah dengan cara yang betul dan bukannya dengan tindakan yang bodoh dan boleh mencederakan diri sendiri".

Noor Iasah menamatkan saingan tempat keempat, dengan catatan masa 58.55 saat, memecah rekod Sukan Asia yang dipegangnya iaitu 58.96 saat.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh pelari Amerika Syarikat, Breanna Clark dengan catatan masa 57.79 saat kurang 0.02 saat untuk mengatasi rekod dunia yang dipegang Niewiedzial.

Pingat perak pula dirangkul oleh Natalia Lezlovetska pelari dari Ukraine dengan catatan masa 58.48 saat sementara Niewiedzial mencatat masa 58.51 saat. — EdisiRakyat.com, 14 September 2016

Previous Post Next Post