SATU laporan yang dibuat oleh The Climate Institute ini tentu sekali bukan berita baik untuk para peminat kopi di seluruh dunia.
Badan itu menegaskan bahawa, jika kadar pemanasan global berterusan seperti hari ini, kopi dijangka akan pupus sepenuhnya pada tahun 2080.
Peningkatan suhu yang berlaku kini akan terus merosakkan tanah-tanah yang biasa digunakan untuk menanam kopi seluruh dunia, menjadikannya langsung tidak subur untuk tanaman itu.
Peningkatan terhadap tahap biak fungi dan serangga juga tidak dapat membantu, laporan itu menganggarkan, separuh daripada ladang kopi dunia tidak lagi dapat menghasilkan komoditi itu menjelang tahun 2050.
Ini juga akan mengakibatkan variasi kopi tertentu seperti kopi Arabica yang menjadi kegemaran ramai, akan pupus sepenuhnya menjelang 2080.
Ini bermakna, kita hanya ada sekitar 67 tahun sahaja lagi untuk menikmati kopi di dunia ini. Malah, sebelum tahun 2080 pun, peningkatan suhu bumi akan mengurangkan kualiti kopi.
Tidak lama lagi tentu kita akan dapat mengesan perubahan itu dari rasa dan aroma kopi yang kita nikmati. Selain itu kopi juga akan jadi semakin mahal kerana ia menjadi semakin sukar untuk didapati.
Jika anda bukan peminat kopi, anda juga perlu merasa bimbang kerana industri kopi adalah antara industri komoditi yang terbesar di dunia. Sekiranya ia musnah, ratusan ribu orang hilang punca rezeki.
Kesimpulannya, kita perlu mengambil serius isu pemanasan global. Ia bakal memberi pelbagai kesan buruk kepada kita dan juga generasi akan datang. — Edisirakyat.com, 4 September 2016.
Post a Comment