ANGKARA kemaruk dengan ketagihan najis dadah, pasangan ini 'overdose' di dalam sebuah kereta, manakala anak yang baru mengenal dunia terbiar seorang diri di tempat duduk belakang, terpinga-pinga tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Beberapa keping gambar pasangan ini yang pada awalnya dikongsikan oleh laman facebook rasmi East Liverpool Ohio Polis Deparment menjadi 'viral' di media sosial Facebook.
"Kami sangat sedar bahawa sebahagian daripada anda akan merasa terganggu dengan gambar ini. Maka kami benar-benar minta maaf, namun kali ini orang awam yang bukan penagih dadah dapat lihat sendiri apa yang kami lalui dalam tugas setiap hari," tulis halaman itu.
"Racun yang dikenali sebagai heroin telah meresap jauh ke dalam bukan sahaja komuniti kita, bezanya kami sedia untuk melawan masalah ini habis-habisan sampailah ia terhapus, dan jika ia bermakna segelintir kecil orang rasa terganggu di sepanjang perjalanan kami ke arah itu, kami sedia menghadapinya," tulis laman itu lagi.
Gambar itu menunjukkan Acord, 50 dan Pasek, 47 dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut ternganga di bahagian tempat duduk hadapan kenderaan Ford Explorer, sementara anak lelaki mereka terbiar seorang diri di bahagian belakang kenderaan.
Menurut satu salinan laporan polis yang turut tersebar bersama gambar tersebut, seorang pegawai polis telah memandu kenderaan peribadi mendekati kenderaan Acord selepas ia dilihat seperti dipandu secara mabuk dan kemudian terbabas di bahu jalan.
Pegawai polis bernama Kevin Thompsom itu melaporkan Acord yang pada waktu itu kepalanya terhoyong hayang ke depan dan ke belakang, membebel dengan perkataan dari mulutnya yang sukar difahami.
Acord memberitahu bahawa dia sedang menghantar isterinya Pasek ke hospital sebelum cuba memandu kenderaan untuk berlalu pergi, namun tidak lama kemudian, dia jatuh pengsan tidak sedarkan diri.
Pasek juga pada waktu itu tidak sedarkan diri, wajahnya kelihatan pucat dan kebiruan tulis pegawai itu lagi. Kedua-dua mereka kemudian dibantu dengan rawatan kecemasan menggunakan sejenis ubatan untuk menyahbalik kesan 'overdose'. — EdisiRakyat.com, 10 September 2016
إرسال تعليق