SEORANG bayi perempuan berusia setahun dilaporkan maut dipercayai akibat sesak nafas selepas ditinggalkan di tempat duduk belakang kereta ayahnya selama lima jam.
Difahamkan, pada jam 9:05 pagi bayi malang itu diletakkan di tempat duduk belakang kereta oleh ibunya, supaya di suami dapat menhantarnya ke rumah penjagaan bayi berhampiran tempat tinggal pasangan itu.
Sekitar jam 10 pagi, si suami meninggalkan rumah untuk bekerja di Saleng tanpa menyedari bayi mereka diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu.
Sekitar jam 3 petang, si suami menerima panggilan daripada rumah pengasuh bertanyakan mengapa bayi mereka tidak dihantar seperti hari-hari biasa.
Suami yang terkejut terus bergegas menuju ke kereta sebelum mendapati bayi perempuannya dalam keadaan lemah dipercayai sudah meninggal dunia.
Si suami terus membawa bayinya ke hospital berhampiran iaitu Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim. salah seorang pegawai perubatan yang sedang bertugas mengesahkan bayi itu sudah pun meninggal dunia.
Bedah siasat akan dilakukan esok bagi memastikan punca sebenar kematian. — EdisiRakyat.com, 13 September 2016.