SEBARAN foto dan dakwaan kononnya himpunan baju merah sedang berlangsung di ibu kota tersebar luas di media sosial, namun penganjur dilaporkan sebagai menafikan dakwaan tersebut.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju dilaporkan berkata, dakwaan kononnya himpunan yang dikenali sebagai baju merah sedang berlangsung di ibu kota pada hari Ahad, adalah tidak benar, ada segelintir cuba memfitnah NGO-NGO yang bakal menyertai Himpunan Maruah Melayu pada 16 September ini.
"Jangan percaya dengan apa-apa khabar angin yang tersebar di Whatsapp dan media sosial, Ada orang cuba mencetuskan provokasi.
"Jika ada orang berkumpul di Plaza Low Yat dan Bukit Bintang hari ini, saya minta polis dan DBKL tolong ambil tindakan," katanya yang dipetik oleh sebuah portal berita.
Gambar-gambar penunggang motorsikal memakai baju merah yang menjadi viral di laman sosial dan whatsapp dilaporkan usaha beberapa NGO yang menganjurkan konvoi bermotorsikal di Titiwangsa untuk tujuan promosi Himpunan Maruah Melayu pada 16 September ini.
Setiausaha bersama, gabungan NGO Melayu Durrany Izam pula dilaporkan berkata bahawa konvoi tersebut hanya berlegar sekitar Titiwangsa dan tidak sama sekali pergi ke Bukit Bintang atau Plaza Lowyat.
Beliau dipetik sebagai berkata, "Itu hanya khabar angin, jika kami anjurkan apa-apa kami akan beritahu pihak media. Setakat ini, kami merupakan sebahagian daripada himpunan 16 September, itu sahaja"— EdisiRakyat.com
Post a Comment