PAS tetap dengan pendirian parti itu, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa ia tidak akan terlibat dengan gabungan pembangkang yang baru dibentuk, dinamakan sebagai Pakatan Harapan.
Portal lidah rasmi parti itu menyiarkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan bahawa, PAS mengekalkan hubungan dan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat, PKR di samping menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik tersendiri.
Namun, PAS menegaskan bahawa ia tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini. Tambahnya lagi, PAS akan menumpukan usaha ke arah pemerkasaan parti, dan melebarkan sokongan rakyat kepada perjuangan PAS di seluruh negara.
Semalam Ketua Pembangkang, yang juga Presiden PKR Dato Seri Dr Wan Azizah memanggil satu perbincangan meja bulat dan berjaya menubuhkan gabungan pembangkang yang baru dinamakan Pakatan Harapan bersama-sama dengan Parti Tindakan Demokratik, DAP dan Parti Amanah Negara, AMANAH — EdisiRakyat.com, 23 September 2015
إرسال تعليق