SALAH seorang krew Malaysian Airlines, MAS dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Perancis atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap salah seorang penumpang pesawat.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan MAS, syarikat penerbangan itu mengesahkan bahawa salah seorang penumpang yang menaiki pesawat MH20 dari Kuala Lumpur ke Paris pada 8 Ogos lalu ada membuat aduan berhubung kelakuan seksual biadap salah seorang krew kabin MAS.
"Kakitangan itu kini ditahan oleh pihak berkuasa Perancis untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan itu pada hari Khamis.
Malaysia Airlines menegaskan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa Perancis sambil menekankan bahawa keselamatan, keselesaan dan kesihatan penumpang adalah sentiasa menjadi keutamaannya.
Difahamkan kenyataan itu dikeluarkan susulan sebuah laporan portal berita Perancis, FranceTVInfo yang mendakwa seorang krew MAS sedang disiasat atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang penumpang warga Australia.
Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika penumpang tersebut meluahkan rasa bimbang dan gemuruh untuk terbang berikutan kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac dan terhempasnya pesawat MH17 Julai lalu.
Krew kabin itu dilaporkan duduk bersebelahan dengan mangsa untuk menenangkannya sebelum melakukan serangan seksual terhadap mangsa.
AFP melaporkan, penumpang tersebut telah membuat satu laporan kepada polis sempadan di Perancis ketika tiba di Paris dan suspek telah ditahan pada 7 Ogos lalu. — EdisiRakyat.com
Post a Comment