JAKIM selar tindakan guna bomoh cari #MH370

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara jelas adalah bertentangan dengan Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

"Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.

"Walaupun kita amat sedih dengan ujian yang sedang menimpa kita," kata Othman dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, tatkala pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa dan dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara ini dan dari negara luar yang menghulurkan bantuan," kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh tiga hari ini".

"Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah swt," katanya.

Menurutnya, dalam satu mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

"Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.

"Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat," katanya.

Sehubungan itu, Othman mengingatkan semua msyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan/atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.

"Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah swt.

"Umat Islam harus menyakini bahawa Allah swt adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakkal," tambahnya.

Menurutnya, setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan "maka kita sebagai hamba Allah harus terus berdoa bermohon kepada Allah yang maha Kuasa".

"Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izinNya jua," tambah Othman.

Semalam, bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menegur penggunaan aktiviti perbomohan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Sambil menyifatkannya "satu kerja bodoh", Asri berkata, amalan "khurafat dan tahyul" itu tidak boleh diterima sama sekali kerana bertentangan dengan akal waras.

"Ini tahyul, khurafat, kerja bodoh dan tidak waras. Agama tidak dapat terima (langkah ini). Dengan buat begitu, dia (bomoh) beri gambaran salah pada ajaran Islam.


Post a Comment

Previous Post Next Post