SEWAKTU Malaysiakini berdiri di penghujung 1999, ramai orang menduga portal ini hanyalah lanjutan lidah pembangkang yang mewarisi citra laman-laman web reformasi.
Selepas pilihan raya umum tahun itu, yang menyaksikan kemerosotan besar Umno, tiga penerbitan politik berpengaruh dalam bahasa Melayu mengalami tekanan berat.
Dr Mahathir Mohamad, tentunya melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), menutup majalah isu semasa Detik dan mingguan politik Eksklusif.
Harakah, satu-satunya akhbar pembangkang yang melonjak sewaktu era Gerakan Reformasi, disekat dengan membenarkannya terbit sebanyak dua kali sebulan (asalnya lapan kali sebulan).
Portal berita ini membuktikan ia bukanlah lidah pembangkang walau laporan-laporannya ada kalanya sangat kritikal pada kerajaan.
Sejak awal penubuhannya, Malaysiakini sering melaporkan krisis dalam parti-parti pembangkang, termasuk PKR (dulu dikenali PKN), antaranya pemimpin utamanya Dr Chandra Muzaffar dan Mohd Anuar Tahir.
Namun, kerajaan tetap meraguinya. Banyak acara Umno dan kerajaan gagal dihadirinya dan sukar mendapat ulasan pemimpin-pemimpin utama BN.
Selain masih terlalu baru, muncul pula dalam sejarah krisis politik negara, Malaysiakini tidak diberikan kad pengenalan rasmi media Jabatan Penerangan.
Harakah, yang disifatkan organ parti pembangkang, terlebih dahulu mendapat kad ini berbanding media bebas seperti Malaysiakini.
Akibatnya, jika ingatan saya tidak salah, wartawan Malaysiakini sukar membuat liputan kes liwat Anwar Ibrahim yang berprofil tinggi seperti selayaknya seorang pengamal media.
Oleh kerana ruang mahkamah kecil, media dan penyokong Anwar terpaksa mengikut kuota yang ditetapkan.
Wartawan Malaysiakini, dengan itu, terpaksa menggunakan kuota awam ini untuk akses perbicaraan hangat itu.
Setelah hampir sedekad, muncul peristiwa 8 Mac yang menyaksikan gegaran besar landskap politik.
Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi akhirnya memberikan semua wartawan Malaysiakini kad kelabu Jabatan Penerangan, sebagai tanda media dalam talian, semudah pemberita dari kumpulan Utusan atau Media Prima!
Walaupun terus-menerus dicop "pro-pembangkang" oleh sebilangan pemimpin BN dan medianya, tradisi laporan Malaysiakini akhirnya jelas menunjukkan kemandiriannya dengan membongkar semua percaturan parti-parti, termasuk Pakatan Rakyat.
Malaysiakini menjadi media utama, dan paling lengkap, mendedahkan percaturan kuasa kumpulan Erdogan melawan mazhab pro-kerajaan perpaduan dalam PAS sejak dari awal.
Ia juga mendedahkan intrig-intrig politik dalam PKR dan DAP dalam tempoh lima tahun mutakhir, termasuk 'Kajang Move' dan percaturan di Selangor.
Bagi mereka yang rasional, portal berita ini memang profesional, bertanggungjawab dan bebas.
Dalam tempoh lebih 10 tahun, peminatnya terpaksa akur bahawa ia ingin menyampaikan berita dan mencari untung untuk meneruskan operasinya dengan bebas.
Pada dua tahun awal penubuhannya, saya tidak dapat membayangkan Malaysiakini akhirnya disanjung, digeruni dan dicontohi oleh kawan dan lawan.
Seperti saya tidak dapat membayangkan betapa mudahnya mendapatkan kelulusan kad pengenalan media Jabatan Penerangan pada tahun 2000.
Seperti sukarnya mengkhayalkan Malaysiakini memiliki bangunan sendiri pada usianya 15 tahun November depan.
(ii)
Setelah lebih 14 tahun merakamkan sejarah naik turun kegetiran politik nasional, Malaysiakini berdepan dengan landskap politik dan kerenah kebebasan akhbar yang "berbeza".
Setelah muncul satu demi satu portal berita seumpama Malaysiakini sejak awal 2008 dan 2010, selain blog, Facebook dan Twitter, kini kita menyaksikan "pencabulan pelik" hak kebebasan media.
"Pelik" kerana tekanan kerajaan turut ditujukan kepada pemilik dan kumpulan media yang tidak lagi berdiri atas dasar "aktivisme" dan semangat lantang mengkritik kerajaan seperti Detik, Harakah atau Malaysiakini pada 2000.
Ia juga bukan ditujukan kepada portal bebas seperti Malaysian Insider atau Free Malaysia Today, kedua-duanya sedikit sebanyak bergerak ala Malaysiakini.
Tekanan terbaru KDN disasarkan kepada media yang membawa citra "komersial, profesional dan non-partisan" yang dimiliki oleh tokoh-tokoh usahawan "arus perdana".
Pemilik The Heat yang digantung hujung tahun lalu, HCK Media, memang tidak pernah dikenali dengan label aktivis pembangkang seperti Ahmad Lutfi Othman, penulis politik yang lahir dari perut PAS.
HCK Media, dengan projek penerbitannya yang ambitious, sebuah cabang niaga HCK Capital milik Clement Hii.
Pemilik harian FZ Daily, yang dibatal permitnya minggu lalu, bukan idealis tanpa dana seperti Steven Gan (kiri) dan Premesh Chandran. Kumpulan medianya tidak dikepalai oleh wartawan semi aktivis yang naif seperti saya.
Tong Kooi Ong telah dikenali sebagai usahawan mapan, termasuk rangkaian medianya, misalnya akhbar niaga The Edge.
Jadi landskap tekanan pada kebebasan media pasca pilihan raya umum 1999 sama sekali berbeza dengan 2013.
Landskap politik dan sasaran pembacanya juga jauh berubah dilambung ombak media sosial dan gegaran angkara menguatnya Pakatan Rakyat.
Jika era Dr Mahathir lebih mensasarkan "musuh politik" pembangkang, musuh baru rejim Najib Abdul Razak melimpah kepada ruang-ruang bukan politik.
Ia mengisyaratkan perkembangan politik dan niaga -- setidak-tidaknya dalam industri media -- yang baru dan belum dikenali selama ini.
Ia seolah-olahnya "hukuman" atau "gertakan" terhadap kelas menengah di kota yang berbahasa Inggeris -- dan mungkin juga bukan Melayu.
Kelas atau kelompok inilah yang mendukung sentimen BERSIH dan membentuk 52 peratus pengundi Pakatan Rakyat.
Perkembangan ini masih terlalu awal untuk difahami tetapi tidak terlalu sukar untuk ditelah.
Pada bacaan politik saya yang mentah, ia seolah-olah mengisyaratkan permulaan keruntuhan sebuah rejim.
(iii)
Sewaktu Detik diharamkan sejurus selepas pilihan raya November 1999, saya mengajak Ahmad Lutfi dan beberapa teman penulis mendirikan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).
Ada dukungan, tetapi masih sangat kecil dan terbatas, sekitar rakan-rakan aktivis Gerakan Reformasi, NGO dan penyokong Barisan Alternatif (kini Pakatan).
Pada waktu itu, pengamal media arus perdana sendiri memang gelisah sehingga lebih kurang 1,000 orang mengirim memorandum bantahan kepada KDN pada 1999 dan 2000.
Idea-idea untuk mendirikan kumpulan memperjuangkan isu-isu media makin kuat berkumandang.
Selain KAMI, Malaysia menyambut alaf baru dengan kelahiran kumpulan-kumpulan Boikot Media, Inisiatif Wartawan, Pakatan Penulis untuk Media Bebas (WAMI) dan akhirnya Pusat Kewartawan Bebas (CIJ).
Mereka inilah yang memantau dan mengangkat isu-isu kebebasan media, termasuk dialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sewaktu tekanan demi tekanan dikenakan pada wartawan dan syarikat media.
Saya dapat rasakan betapa kecil, tanpa pengaruh dan terbatasnya kempen yang KAMI dapat usahakan dalam tempoh-tempoh itu, khususnya tahun-tahun akhir rejim Dr Mahathir.
Reaksi dan perasaan saya sama sekali berbeza dengan penggantungan mingguan The Heat pada pertengahan Disember lalu.
Berbekalkan sembang-sembang kecil di Facebook susulan penggantungan itu, dalam tempoh 24 jam, sekumpulan wartawan dan aktivis duduk bersama dan melancarkan Gerakan Media Marah (GERAMM).
Ia disertai oleh beberapa wartawan muda tetapi, paling mengejutkan, daripada lima organisasi media berbeza, yang selalunya juga bersaing sesama sendiri.
Jumlah ini tidak termasuk tiga portal parti-parti utama pembangkang dan juga portal-portal lain, termasuk media arus perdana, yang menyatakan sokongan moral mereka dari jauh.
Ia ditandakan dengan forum pertama GERAMM yang menampilkan tokoh-tokoh utama dari Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today di sebuah dewan kecil yang padat.
Dalam hitungan saya, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 media berkongsi sentimen pro-kebebasan yang disuarakan oleh GERAMM.
Ia ditandakan lagi oleh kejayaan Protes Pensel Merah pada 4 Januari lalu -- bukan dari segi jumlah kehadirannya.
Kehadirannya kecil sahaja berbanding himpunan ribuan peserta anjuran NGO atau Pakatan.
Tetapi pada kehadiran kualiti simbolik pengamal media dan tokoh-tokoh aktivis seperti Marina Mahathir dan S Ambiga.
Ia disusuli liputan positif media arus perdana seperti The Star, Berita Harian dan New Straits Times hujung minggu itu.
Dalam tempoh dua minggu, GERAMM berhempas pulas mempakejkan protesnya bagi mendukung mingguan berbahasa Inggeris yang tidak dikenali umum, tidak seumpama Harian Metro atau Harakah.
Pada saya, gejala ini bukan lambang kejayaan perjuangan kebebasan media, jauh sekali kehebatan GERAMM.
Penggantungan The Heat (kini beroperasi semula), GERAMM dan pembatalan FZ Daily bukan satu peristiwa besar. Ia hanya tanda-tanda kecil semangat zaman, cerminan zeitgeist, jika perkataan ini tidak terlalu mengada-ngada.
Ia membayangkan "tectonic shift" yang sedang melanda negara kita. Seolah-olahnya kita sedang menunggu untuk "final push" atau asakan terakhir sebuah perubahan mega.
Apakah pengamal media, dan rakyat, sedia untuk asakan terakhir itu? Apakah kita sedia, dalam bahasa aktivis, untuk memberontak? Adakah kita sudah sedia?
*Fathi Aris Omar — Seorang editor kanan di portal Malaysiakini.
إرسال تعليق