LEBIH 20 staf PKNS Holding termasuk kakitangan senior dipecat serta merta tanpa diberikan sebab musabab pemecatan mereka lapor The Star.
Mereka dilaporkan menerima dua bulan gaji sebagai pampasan.
Menurut sumber, dipetik oleh The Star dari kalangan staf yang dipecat, surat-surat pemberhentian kerja diserahkan kepada mereka selepas satu mesyuarat pagi, dan mereka kemudiannya diarahkan untuk beredar.
"Mereka (PKNS) menyerahkan surat pemecatan tanpa mempedulikan kehidupan staf dan keluarga mereka.
"Bagaimana saya nak bagi makan anak bini? Selepas lebih 20 tahun bersama syarikat, ini tidak adil dan tidak beretika mereka buat begini," kata sumber.
Sumber itu juga memaklumkan bahawa, surat pemecatan mereka ditandatangan oleh ketua pegawai kewangan PKNS, dan bukannya pengurus besar ataupun Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Lantikan dan pemecatan kami sepatutnya hanya ditandatangani oleh pengurus besar atau Menteri Besar sendiri," katanya lagi.
Seorang lagi staf senior menyifatkan pemecatan dirinya sebagai "tidak berperi kemanusiaan" dan "tindakan yang tak munasabah".
Dia juga mendakwa, pengurus besar PKNS Holding turut meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap pemecatan tersebut.
Pemecatan itu turutan pemecatan kontroversi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Lembaga Pengarah PKNS dalam satu surat bertarikh 8 Jan lalu. — EdisiRakyat.com
إرسال تعليق